GUBAL UNDANG-UNDANG DANA POLITIK DISOKONG

Persidangan Parlimen meluluskan usul Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang dan Integriti agar undang-undang berkaitan dana politik digubal segera untuk menambak baik ketelusan sistem politik di negara ini.

Turut mendapat perhatian adalah cadangan pindaan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Pertubuhan 1996 serta Akta Kesalahan Pi­lihan Raya Umum 1994 untuk memperkasakan kawal selia dana politik.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang dan Integriti, Akmal Saufi Mohamed Khaled berkata, cadangan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik perlu dilaksanakan bagi menjayakan transformasi politik negara.

Beliau menggariskan enam perkara utama yang perlu dipenuhi termasuk pengisytiharan dana politik kepada umum, saluran kepada dana hanya boleh dilakukan melalui akaun parti dan bukan akaun peribadi, serta derma politik dari luar negara perlu diumumkan.

Jawatankuasa itu juga menggesa takrifan undang-undang yang lebih jelas mengenai derma politik, pengisytiharan kegunaan da­na parti politik dalam pilihan raya serta mewujudkan struktur derma politik untuk syarikat, organisasi serta individu.

“Sekiranya kita tidak berusaha memperbaiki apa yang ada sekarang, apa yang ada kini akan diwarisi dan ini tidak akan memperkukuhkan sistem institusi politik negara kita,” katanya ketika mencadangkan usul menambah baik sistem pengurusan kewangan dan dana politik dalam sidang Parlimen Belia di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Wakil Perak, Al Yashir Yahya ketika membahas usul tersebut, mencadangkan agar pengurusan parti politik termasuk berkaitan dana politik di letak di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepenuhnya, berbanding Pendaftar Pertubuhan (Ros) ketika ini.

“DAP sebelum ini bertegas tidak bersetuju (terhadap undang-undang berkaitan dana politik), oleh itu saya berasa perlunya SPR dilibatkan sebagai sebuah badan yang lebih tinggi,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan.

Sementara itu, Wakil Kuala Lumpur, Suhail Mohamed Kamaruddin berkata, beliau menyokong penggubalan undang-undang berkaitan dana politik bagi memastikan mana-mana pemimpin politik tidak terikat dengan agenda pemberi dana berkenaan.

“Mereka (pemberi dana) ada yang mempunyai motif tidak baik tersembunyi yang akhirnya penerima akan terhutang budi yang perlu dibalas

“Sebagai contoh, mereka mungkin meminta projek dan sudah pasti campur tangan dalam keputusan yang penting. Ini sudah pasti menjejaskan kepentingan negara atau sesuatu keputusan,” katanya – UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial