HAB BELIA ANTARABANGSA JOHOR PERLUAS JARINGAN

image (10)

JOHOR BAHRU – Hab Belia Antarabangsa Johor, yang diwujudkan di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) di sini, diharap menjadi tempat untuk golongan berkenaan memperluaskan jaringan dan aktiviti di seluruh negara dan antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya amat menyokong penubuhan hab inisiatif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Belia Iskandar Malaysia itu, yang sekali gus menjadi platform
kepada belia menjalankan aktiviti serta bermasyarakat.

"Di sini (Hab Belia Antarabangsa Johor), mereka (belia) boleh berkumpul, memperluaskan jaringan, bertukar fikiran, idea, hobi dan kegemaran secara santai serta mengikut cara mereka sendiri," katanya berucap merasmikan hab berkenaan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kewujudan hab yang dibangunkan secara berperingkat itu merupakan satu konsep yang diketengahkan kerajaan negeri dengan memberi kuasa kepada belia membuat sesuatu dengan penuh bertanggungjawab.

Beliau berkata, belia dijadikan arkitek dan penyumbang idea dalam proses pembangunan hab tersebut seterusnya mengurus dan menganjurkan pelbagai program.

"Golongan belia akan dilibatkan dalam setiap proses pembangunan hab ini. Ini kerana, hanya generasi muda yang faham akan kehendak mereka dan lebih tahu apa yang perlu dan apa yang mereka mahu," katanya.

Beliau berkata, belia harus menjadi tenaga penggerak sama ada dari segi pengurusan, penentuan dasar program atau sebagainya, dan bukannya semata-semata sebagai peserta yang datang menggunakan fasiliti di hab itu.

Mohamed Khaled berkata, pewujudan hab yang turut merangkumi pusat informasi dan aktiviti sukan lasak itu juga selaras dengan usaha menjadikan Iskandar Malaysia sebagai metropolis yang tidak hanya memberi perhatian kepada pembangunan fizikal, sebaliknya turut membabitkan pembangunan sumber manusia.

Beliau berkata, hab pertama seumpamanya di Malaysia itu akan diperluaskan ke kawasan lain di negeri ini, sekiranya ia berjaya direalisasikan. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial