‘Hadiah Istimewa’ Sempena Hari Keputeraan Sultan Johor

Foto : NSTP

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengumumkan satu ‘hadiah istimewa’ buat rakyat negeri Johor sempena Hari Keputeraan Baginda pada Khamis ini.

Baginda bertitah, hadiah yang dimaksudkan adalah satu skim perumahan mampu milik untuk ‘Bangsa Johor’ di Bandar Dato’ Onn, di sini.

“Saya tidak mahu dedahkan terlalu banyak informasi sekarang… rakyat dialu-alukan hadir ke Galleria di Plaza Kotaraya pada hari Rabu (22 Mac) ini untuk majlis pelancaran projek yang menarik ini,” titah Sultan Johor dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, projek hak milik bebas unik ini akan dibangunkan di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim dengan kerjasama Bank Rakyat, menawarkan konsep hartanah kediaman yang berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersil.

“Saya mahu Bangsa Johor menjadi sebuah komuniti yang memiliki rumah. Saya mahu skim perumahan yang pertama seumpamanya ini benar-benar mampu dimiliki, murah dan berkualiti tinggi.

“Bayangkan memiliki sebuah banglo tiga bilik atau rumah berkembar dengan harga bawah RM100,000 seunit. Ia dibuka kepada semua Bangsa Johor yang layak.

“Akan tetapi proses pemilihan adalah amat ketat dan teliti. Pemohon yang berjaya hanya perlu membayar RM1 sebagai deposit dan mereka akan ditawarkan pinjaman penuh dengan skim pembayaran semula yang mudah,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda menjangkakan projek unik ini mampu membuat kejutan dalam industri perumahan tempatan, seterusnya memaksa pemaju swasta menurunkan harga rumah.

“Kita mesti memastikan rumah mampu dimiliki oleh semua. Harga sekarang adalah di luar jangkauan mereka yang berpendapatan sederhana,” titahnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial