HAJAT KE TANAH SUCI TIDAK KESAMPAIAN

image (2)

PONTIAN – Hajat seorang datuk untuk menunaikan fardu haji tahun ini tidak kesampaian apabila dia ditemui mati terkena renjatan elektrik ketika sedang mengait kelapa sawit di Kampung Parit Haji Siraj, malam Isnin lalu.

Mangsa, Marsikun Salmin, 76, ditemui di kebun kelapa sawit oleh anaknya Fadillah, 41, kira-kira jam 7.30 malam.

Menurut Fadillah, bapanya tidak pulang sehingga lewat petang selepas dia keluar bekerja kira-kira jam 8 pagi di kebun sawit miliknya yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah mereka.

“Saya terus ke kebun lepas ibu (Robini Jebol, 68) beritahu ayah tak balik walaupun hari sudah petang.

“Biasanya ayah balik makan tengah hari dan sambung balik kerja waktu petang, tapi kali ini, ayah tak balik pun makan dengan ibu," katanya.

Jelasnya, ketika di kebun berkenaan, dia melihat galah pemotong tandan kelapa sawit tergantung pada wayar elektrik yang merentasi kawasan kebun tersebut.

“Saya rasa tak sedap hati bila lihat galah aluminium itu tergantung dekat wayar. Masa itu saya fikir ayah mungkin dah kena renjatan elektrik.

“Saya jumpa ayah dah terbaring kaku atas tanah. Saya terus panggil polis minta bantuan,” katanya.

Isteri mangsa, Robini berkata, dia tidak menyangka kejadian malang itu akan menimpa suaminya terutama ketika mereka berdua dijangka berangkat ke tanah suci pada 13 September ini untuk menunaikan fardu haji.

Katanya, dia dan suami sudah menunggu selama lapan tahun untuk ke tanah suci.

“Kami tak pernah putus asa tunggu jawapan daripada Tabung Haji. Setiap tahun kami akan ke kursus haji sama-sama.

“Arwah suami paling seronok bila dapat surat jawapan ke MAKKAH sebelum Ramadan lepas,” katanya.

Jelasnya, arwah juga sempat membeli sehelai kain ihram, sehari sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

“Ahad lepas kami pergi Dewan Jubli Intan Pontian sebab terima sumbangan jemaah haji dari Umno Pontian.

“Arwah sempat ke bandar selepas itu untuk beli sehelai kain ihram dan kelengkapan haji lain,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abdul Rahman mengesahkan kejadian tersebut.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial