Mario Gomez
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berhati-hati dalam melayan kunjungan Lions XII malam ini, tetapi tidak bermakna mereka akan melupakan aksi garang yang telah membawa mereka mendaki puncak liga ketika ini
 

Lions mencipta kejutan apabila menjinakkan pendahulu sebelum ini Pahang dengan kemenangan selesa 4-2 di tempat sendiri, dan pencapaian juara Piala FA itu memaksa ketua jurulatih JDT, Mario Gomez memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar berwaspada dengan strategi serta taktikal yang diatur pemain lawan dalam perlawanan ke-19 Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

 

“Kejayaan (Lions) mengalahkan pasukan Pahang dengan 4-2 semestinya sedikit sebanyak memberi perkembangan positif kepada semua pemain Lions XII untuk tampil lebih berani menentang kami,” kata pengendali berusia 58 tahun dari Argentina itu.

 

Namun, dengan beraksi di laman sendiri, JDT sudah tentunya ingin terus mengekalkan rentak garang mereka.

 

Menurut Gomez, anak-anak buahnya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik mereka dalam perlawanan itu, apatah lagi akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

 

Katanya, kejayaan menundukkan ATM di Seremban Sabtu lalu, sekali gus melonjakkan JDT ke kedudukan teratas carta liga apabila Pahang pula kalah di Singapura, merupakan penambah sema­ngat kepada skuadnya untuk terus mengejar kejayaan.

 

“Saya yakin semua pemain akan mempamerkan aksi terbaik kerana masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri untuk mengekalkan JDT sebagai pendahulu liga sehingga ke perlawanan terakhir.

 

“Jika rentak cemerlang dapat dikekalkan, saya percaya dan ya­kin, kami bakal beroleh kemenangan seperti yang diinginkan,” katanya.

JDT kini mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, satu di hadapan Pahang manakala, Lions XII pula menghuni tempat keenam dengan 29 mata.