HARISS PUAS BANTU HARIMAU SELATAN

14.hariss-harun

Johor Bahru: Tiga musim berturut-turut menjulang Piala Liga Super amat mengujakan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Hariss Harun yang menyifatkan hadiah bermakna dalam karier bola sepaknya.

Selepas membantu LionsXII muncul juara liga pada musim 2013, kini pemain kelahiran Singapura itu memainkan peranan penting apabila membantu skuad Harimau Selatan muncul juara liga dua musim berturut-turut sekalipun tewas 1-2 kepada FELDA United.

“Saya amat bertuah apabila muncul pemain merangkul kejuaraan liga tiga musim berturut-turut dan ia memberi lebih motivasi bagi terus membantu Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia yang bermula awal bulan depan.

“Amat bersyukur dengan kejayaan itu dan kita bernasib baik untuk muncul juara walaupun tewas tetapi keputusan Terengganu menewaskan Pahang 3-1 mengesahkan status Johor DT juara untuk dua musim berturut-turut.

“Saingan musim ini cukup mendebarkan selepas penentuan kejuaraan ditentukan pada perlawanan terakhir dan kerjasama berpasukan yang dibentuk sejak awal musim, hasil amat berbaloi,” katanya.

Hariss menambah sepanjang 80 minit perlawanan selepas Junior Eldstal dilayangkan kad merah pada minit ke-11 menyebabkan Johor DT terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Katanya, ketenangan menyerap asakan FELDA United apabila bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak menyukarkan barisan serangan pasukan itu menambah jaringan malah semua pemain beraksi bermati-matian untuk mematikan setiap gerakan lawan.

“Beraksi dengan 10 pemain pada tempoh lama begitu mendebarkan namun kami berjaya mengatasi kesukaran itu apabila rakan sepasukan berjuang habis-habisan memastikan pintu gol tidak dibolosi lagi.

“Jaringan Luciano Figueroa menerusi sepakan penalti menaikkan semula semangat semua pemain tetapi apakan daya kita sudah berusaha hanya keputusan tidak memihak untuk mencatat seri.

“Kini kami mengalih tumpuan pada aksi suku akhir Piala AFC dan ada hanya tempoh 48 jam untuk membuat persiapan berdepan kelab dari Hong Kong, South China FC di laman sendiri dan kejuaraan liga bakal menjadi pembakar semangat untuk memburu kemenangan, malam esok,” kata Hariss.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial