Henti Salahkan Ibu Bapa Remaja Terlibat Kemalangan Basikal – Exco

Asiah

JOHOR BAHRU, 21 Feb – Masyarakat khususnya pengguna laman sosial diminta menghentikan perbuatan menyalahkan ibu bapa remaja yang terlibat dalam kemalangan basikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, dua hari lepas.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff berkata masyarakat seharusnya memberi nasihat kepada ibu bapa mangsa terlibat, bukannya menambah tekanan kepada mereka menerusi komen yang tidak sopan di laman sosial.

“Apabila baca di laman Facebook, saya dapati banyak komen yang menyalahkan ibu bapa. Mereka di luar sana (masyarakat) sepatutnya beri nasihat yang terbaik, jangan keluarkan perkataan yang kita sendiri tidak sedap untuk dengar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga remaja yang maut dalam kemalangan terbabit dan melawat mangsa yang cedera di Wad Barat 2, Hospital Sultanah Aminah, di sini, semalam.

Asiah berkata berdasarkan pertemuannya dengan ibu bapa mangsa yang cedera di wad tersebut, kesemua mereka meluahkan rasa kecewa apabila dihujani perkataan tidak sopan di laman sosial.

Beliau turut menasihatkan semua ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang.

“Dalam kemalangan ini, ada ibu bapa mangsa yang tegas dengan anak-anak dan bukannya tidak mengambil berat terhadap mereka.

“Majoriti mangsa yang terlibat juga bersekolah dengan baik dan aktif dalam kokurikulum sekolah. Jadi, berilah ibu bapa mangsa ini peluang dan siasatan kemalangan itu, kita serahkan kepada polis,” katanya.

Mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri supaya kerajaan negeri mengeluarkan larangan remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, jalan raya dan lokasi tertentu pada lewat malam, Asiah berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri, minggu depan.

“Saya tidak dapat ulas lanjut buat masa ini, namun saya terima cadangan itu. Kita kena bincang dahulu dan tunggu keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial