Hubungan PPBM-DAP Tidak Akan Kekal – Khaled

Mohamed Khaled

SEMBRONG, 14 Feb – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini berkata kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP hanya bersifat sementara kerana kedua-duanya hanya mempergunakan satu sama lain.

Ia kerana kedua-dua parti itu tidak mempunyai apa-apa persamaan melainkan bertujuan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

“Bekas pemimpin UMNO yang keluar daripada parti berkata mereka akan menjadi lebih UMNO daripada UMNO, jadi bagaimana mungkin DAP bersama dengan pihak sedemikian?

“Mereka bersama dengan tujuan untuk menjatuhkan BN semata-mata, maknanya ini bukan satu kerjasama yang kekal, tetapi hanya ‘marriage of convenience’,” tegas beliau.

Ujar Mohamed Khaled lagi, tindakan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir keluar dua kali daripada UMNO sudah menampakkan sifat sementara kerjasama politik antara PPBM dan DAP.

“Tun (Dr. Mahathir) dulu kata tidak akan sekali-kali keluar daripada UMNO, tetapi dua kali dia keluar.

“Jadi bagaimana hendak bekerjasama secara kekal dengan DAP?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai lawatan kerja sehari ke parlimen Sembrong yang turut disertai Ahli Parlimennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Khaled turut mengalu-alukan keputusan empat orang wakil rakyat DAP Melaka yang meletak jawatan kerana sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Malah, beliau berharap tindakan mereka akan membuka lebih banyak mata ahli lain agar mengikuti jejak mereka.

“Saya berharap ramai lagi akan ikut keluar, kerana saya percaya mereka juga faham dan dapat melihat bahawa DAP sudah berubah.

“Kita tidak boleh mengamalkan politik yang tidak menentu, kerana ia hanya akan menjejaskan kestabilan negara.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial