IBR: SPRM Tidak Berpolitik – Khaled

Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU, 17 Julai – Menteri Besar Johor hari ini mengulangi kenyataan sama semasa Persidangan Dewan Negeri Johor pada Mei lalu, apabila pembangkang menuduh tindakan kerajaan negeri menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai gimik politik.

Dalam kenyataannya, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sekiranya yang melihat itu berfikiran terbuka dan positif, maka ia pastinya suatu dasar kerajaan yang progresif dan wajar dialu-alukan, tetapi jika yang melihatnya berfikiran negatif, maka ia tidak ubah sebagai satu gimik politik.

“Saya menganggap bahawa IBR itu sebagai sesuatu yang penting dan sekiranya ada yang menyatakan kerajaan negeri berpolitik, badan-badan lain dalam jabatan kerajaan juga menerima ikrar tersebut.

“Jadi saya percaya bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpolitik, tetapi yang berpolitik itu adalah pihak-pihak yang tidak dapat membuat ikrar yang sama atas sebab-sebab tertentu dan hanya mereka sahaja yang tahu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor Tahun 1438H/2017M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Datuk Mokhzani Mokhtar.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution semalam, yang mempersoalkan sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ingin menjadi ahli politik atau selebriti kerana pendekatan dilakukan Dzulkifli berkaitan IBR dilihat hanya untuk mendapatkan perhatian media.

Saifuddin juga berkata masyarakat tidak berminat dengan ikrar yang dianggap sebagai ‘public relation exercise’, malah beliau turut mempersoalkan mengapa Ikrar Integriti Korporat yang diperkenalkan sebelum ini dihentikan.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa kerajaan negeri menganggap IBR sebagai sesuatu yang dapat memberikan kesedaran dan keinsafan kepada semua pihak supaya tidak melakukan rasuah.

“Kerajaan negeri juga tidak mengeluarkan arahan kepada jabatan dan agensi untuk menandatangani IBR, tetapi ia menunjukkan satu petanda baik yang membuktikan sokongan mereka dalam usaha membanteras rasuah yang boleh memusnahkan negara,” katanya.

Kerajaan negeri Johor telah menandatangani IBR pada 20 April lepas di pejabat Menteri Besar Johor dalam satu upacara melafaz dan menandatangani IBR yang disertai oleh Menteri Besar Johor bersama barisan Exco kerajaan negeri serta disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial