Ilmu dan Kemahiran Ibu Bapa Teras Keluarga Harmoni

keluarga cemerlang

MASYARAKAT Johor perlu mengambil perhatian serius terhadap aspek pengukuhan institusi keluarga demikian saranan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang menegaskan bahawa jika institusi yang paling asas itu berada pada landasan betul, masyarakat akan menjadi hebat dan unggul. Begitulah sebaliknya, jika institusi keluarga itu lemah, masyarakat akan menjadi lesu dan hilang daya juang.

Katanya, peranan sesebuah institusi keluarga amat penting untuk meneruskan kesinambungan pembentukan modal insan sebagai peneraju dan benteng masa hadapan. “Apa yang kita inginkan hari ini ialah keseimbangan antara tuntutan pembangunan material dan pembangunan social”

“Ini penting kerana Kerajaan Negeri hari ini amat menginsafi bahawa pembangunan keluarga bahagia itu dapat membentuk modal insan yang kuat demi masa depan negara,” katanya.

Menteri Besar berkata, bagi menyokong keutuhan dan keharmonian institusi keluarga ini, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan melalui usahasama kerajaan negeri dan agensi mahupun badan bukan kerajaan seperti program modal insan, program keibubapaan, program keluarga bahagia, modul keluarga sakinah dan karnival wanita.

Pandangan itu dipersetujui PengerusiJawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Asiah Md Ariff.

Beliau berkata, institusi keluarga menyandang peranan penting dalam perancangan kehidupan yang sempurna. Katanya, pembentukan sebuah keluarga bahagia lahir daripada kesepakatan, kesefahaman, dan keharmonian melalui peranan yang dimainkan setiap individu dalam keluarga.

“Asasnya adalah melalui peranan ibu bapa yang menjadi pemangkin kepada keutuhan sesebuah keluarga dan contoh kepada pengukuhan sahsiah anak-anak mereka.

“Justeru, ibu bapa sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi berhubung peranan mereka  dalam mencorak keluarga masing-masing supaya tidak tersasar daripada matlamat dan fungsi sebenar sesebuah institusi keluarga,” katanya.

Beliau menegaskan, cabaran yang dihadapi ibu bapa ketika ini ialah bagaimana cara terbaik mengekalkan hubungan yang sihat dan menjamin anak-anak menjadi individu yang berdaya saing dan mampu menangani segala cabaran.

Ini kerana proses interaksi dan transaksi dalam sesebuah keluarga itu terbukti mempunyai kaitan rapat dengan tahap keutuhan dan kesejahteraan sebuah keluarga.

Oleh demikian, ilmu dan kemahiran keibubapaan amat penting dalam membentuksesebuah institusi keluarga yang mantap dan cemerlang.

Ilmu keibubapaan kian dianggap faktor penting dalam pembentukan sebuah keluarga khususnya dalam sahsiah dan emosi anak-anak.

Kerajaan sememangnya prihatin terhadap perkara ini lantas mewujudkan pelbagai modul keibubapaan dalam membentuk sebuah keluarga bahagia. Antaranya, Model Keluarga Sakinah yang dilaksanakan  Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Malah komitmen Kerajaan Negeri menganjurkan Majlis Anugerah Keluarga Bahagia saban tahun menjadi bukti pengiktirafan kerajaan kepada keluarga di Johor yang gigih berusaha untuk mewujudkan persekitaran sihat dan harmoni dalam keluarga di samping menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat setempat.

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial