imCoop Sasar Buka 70 Kedai Harga Patut Tahun Ini

Imcoop

ISKANDAR PUTERI, 25 April — Kedai Harga Patut Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) menyasarkan untuk membuka 150 kedai harga patut dalam tempoh tiga tahun, dengan 70 daripadanya ingin direalisasikan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday berkata setakat ini imCoop mempunyai tujuh rangkaian iaitu lima di Johor dan dua di Negeri Sembilan.

Dalam jangka masa terdekat, tujuh lagi rangkaian baharu akan dibuka di Tenggaroh, Taman Pelangi Indah, Taman Daya, Taman Cendana, Taman Bayu Puteri, Gelang Patah, Pontian dan Kulai Besar – kesemuanya di Johor bagi melengkapi jumlah sedia ada.

“Sasaran pembukaan 70 kedai pada tahun ini dan 150 kedai dalam jangka masa tiga tahun adalah satu usaha yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat mendapatkkan barangan pada harga patut terutama mereka yang berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah,” katanya ketika sesi penggulungan hari terakhir Persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di sini, semalam.

Md Jais berkata bagi mendukung usaha pembukaan itu, imCoop sentiasa mengalakkan koperasi lain agar terlibat sebagai sebahagian daripada pelabur aktif, seperti yang dilakukan Koperasi Peserta Rancangan Felcra Batu 3 1/2 Kluang Berhad yang memilki sebuah rangkaian di Paloh.

“Untuk menarik minat pelabur dan membuka kedai ini, imCoop juga menawarkan beberapa pilihan antaranya koperasi yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh digalakkan membuka outlet baharu atau mengambil alih kedai imcoop sedia ada,” katanya.

Bagi koperasi yang berminat tetapi mempunyai kekangan kewangan, imCoop akan membantu mendapatkan akses pembiayaan kewangan dan perancangan bersama-sama SME Bank serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang diadakan bagi tujuan itu, selain memperkenalkan konsep “Bina, Kendali dan Tukar” bagi menarik minat koperasi melabur, katanya.

Menurut Md Jais, imCoop juga membuka peluang perniagaan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memasarkan barangan yang menepati syarat di rangkaian kedai imCoop.

“Produk itu mesti halal, bersesuaian dengan kehendak semasa pelanggan serta menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 27 pengusaha IKS menempatkan barangan dan produk mereka di rangkaian imCoop, sekali gus menjadi ia koperasi pertama yang berjaya memperluaskan pasaran produk keluaran IKS. — BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial