IMPIAN BERLARI 100KM JIKA JDT RANGKUL JUARA LIGA SUPER 2015

image (3)

BATU PAHAT – "Saya akan berlari ke Stadium Larkin, Johor Bahru dari Rengit jika pasukan bola sepak kegemaran saya, Johor Darul Takzim (JDT) menjadi juara Liga Super tahun ini,” kata Shahrudin Abd Razak, 51.

Menurut Shahrudin, dia juga akan melakukan perkara yang sama dengan berlari jika pasukan JDT turut menyandang gelaran naib juara dalam kejohanan bola sepak tempatan ini.

Katanya, berlari adalah aktiviti tahunan yang dilakukannya, di mana apabila tibanya bulan kemerdekaan saya akan melakukannya sebagaimana sebelum ini saya berlari untuk sampai ke puncak gunung.

“Pada bulan kemerdekaan (Ogos) tahun ini saya mahukan satu kelainan dengan berlari untuk menyaksikan pasukan JDT yang akan bermain dalam perlawanan penentuan untuk menjadi juara atau naib juara Liga Super tahun ini.

“Diharapkan impian saya pada tahun ini akan tercapai. Selain berlari saya juga berharap dapat menyaksikan perlawanan di Stadium Larkin ini secara ‘live’.

“Saya juga berharap yang pemain kegemaran saya iaitu Safee Sali, Amri Yahyah dan Shafiq Rahim akan bermain pada perlawanan berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengulas berkaitan dengan latihan yang dilakukan untuk menghadapi larian yang sejauh lebih 100 kilometer itu, dia menyatakan latihan akan dilakukan setiap hujung minggu bermula jam 2 hingga 5 petang.

Katanya, dia juga akan melakukan diet pemakanan yang sesuai bagi memastikan keadaan fizikalnya tidak mempunyai masalah, dengan mengamalkan memakan makanan tertentu seperti coklat, kismis, kurma dan beberapa jenis vitamin.

“Bagi latihan yang dilakukan pada setiap hujung minggu ini, saya lakukannya di sekitar pekan Rengit, Jalan Tanjung Laboh dan Bukit Kelicap, di mana saya akan berlari sekurang-kurangnya enam kilometer.

“Walau apa pun yang terjadi saya akan tetap meneruskan impian saya untuk berlari ke stadium, walaupun hujan lebat…di mana semenjak 15 tahun lalu saya akan berlari untuk mencapai cita-cita saya setiap tahun.

“Saya berharap apa yang saya lakukan ini mendapat sokongan dan juga galakan daripada pelbagai pihak, kerana bukan mudah untuk menjayakannya, di mana ia memerlukan kekuatan fizikal dan juga mental,” katanya.

Katanya, jika pasukan JDT dapat menjadi juara dalam perlawanan Piala Malaysia tahun ini, dia juga akan melakukan perkara yang sama, samada untuk berlari menyaksikan perlawanan atau  meraikan kemenangan.

Sumber : Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial