INISIATIF BIAK BUAYA TEMBAGA

PASIR GUDANG – Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai inisiatif mengorak langkah dalam membangunkan teknologi pembiakan reproduktif buaya tembaga.

Yang DiPertua MPPG, Md Za’nal Misran berkata, penyelidikan yang berkaitan dengan pengumpulan dan kajian kualiti smen buaya tembaga merupakan yang julung kali dijalankan di negara ini.

Menurutnya, sarang buaya yang dibangunkan dengan kos keseluruhan melebihi RM4 juta di hutan semulajadi Tanjung Langsat berkeluasan 1.82 hektar menempatkan 110 ekor buaya sejak 2009.

“Kita berbangga kerana kajian mengenai simen buaya ini merupakan yang pertama dijalankan di Malaysia dan sebahagian daripada kajian khususnya yang merujuk kepada rupa bentuk sperma melalui pemerhatian mikroskop elektron adalah pertama di dunia bagi sepsis ini.

“Kita mengalu-alukan kehadiran pelajar universiti untuk menjalankan penyelidikan berkaitan dengan pemeliharaan dan pembiakan buaya tembaga kerana banyak lapangan kemudahan di sediakan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Kerjasama Penyelidikan MPPG bersama Fakulti Perubatan Veterinar UPM dan menandatangani Hasil Kajian Buaya Tembaga (Crocodylus Porosus), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penyelidik Pembiakan Haiwan Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Profesor Dr Abd Wahid Haron dan Pengurus Sarang Buaya MPPG, Abd Malek Abd Aziz.

Sementara itu, Dr Abd Wahid berkata, hasil penyelidikan yang dijalankan sejak November tahun lalu mendapati sarang buaya berkenaan sesuai untuk pembiakan kerana sumber airnya bersih dan pihaknya mendapati kulit buaya yang dipelihara juga cantik.

Menurutnya, penyelidikan yang dijalankan menggunakan khidmat enam hingga tujuh kepakaran dalam bidang berkenaan khususnya penangkapan dan pengurusan, selain kepakaran daripada pihak sarang buaya itu sendiri.

“Kita jangka tiga tahun akan datang sarang buaya ini akan melebihi jumlah 110 yang ada sekarang,” katanya.- SINAR HARIAN
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial