Inisiatif Perumahan Untuk Rakyat Terus Diperkasa

KOTA ISKANDAR, 17 Nov – Penyediaan perumahan rakyat terus diberi tumpuan oleh kerajaan negeri Johor seperti dalam pembentangan bajet-bajet terdahulunya.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membentangkan bajet tahun depan itu mengumumkan kuota baru bagi memperkemaskan pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Kerajaan Negeri menetapkan kuota 10 peratus pemilikan kepada golongan belia dan 10 peratus lagi kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Keutamaan akan diberikan kepada golongan OKU untuk memiliki rumah aras bawah atau aras satu bagi kediaman strata,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2017 di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan projek perumahan yang akan dilaksanakan oleh Syarikat Milik Kerajaan (GLC) yang  terus komited menyumbang kepada pembinaan kediaman di seluruh negeri itu.

Menurutnya, Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) akan membangunkan dua buah lagi Taman Perbadanan Islam di Labis dan Pagoh, manakala Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan membina perumahan baru di Kong Kong, Sungai Lunchoo (Plentong) dan Kampung Senibong di Permas Jaya.

Manakala, Johor Corporation akan mengambil tanggungjawab membangunkan perumahan di Lenga, Muar dan Masai.

Pembinaan Rumah Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) turut akan diteruskan di Johor.

“Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH) pula akan mengendalikan pembinaan sebanyak 2,877 unit PPA1M di Mersing, Kluang, Tangkak, Muar dan Batu Pahat.

“Manakala, PR1MA akan membangunkan 21,540 unit rumah di Kota Tinggi, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru, dengan tawaran harga seunit di antara RM150 ribu dan RM350 ribu untuk menampung keperluan golongan pertengahan,” tambah Mohamed Khaled.

Katanya, inisiatif subsidi melalui Program Rumah Mesra Rakyat Johor juga diteruskan bagi pembinaan rumah di atas tanah sendiri.

“Kita akan membantu membina 200 unit rumah lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,000 unit menjelang tahun 2018.

“Subsidi pembinaan rumah akan diberi mengikut skala RM10,000 bagi rumah berharga RM64,000, RM12,500 bagi rumah berharga RM72,500 dan RM15,000 bagi rumah berharga RM85,000,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial