Inisiatif Program Bandar Selamat

keselamatan

KEJAYAAN Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Johor mengekalkan trend penurunan indeks jenayah untuk tempoh enam tahun berturut-turut (2008-2013) berjumlah – 42.74 peratus adalah sangat positif dari sudut keselamatan dan ketenteraman awam di Johor.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Dato’ Hasnan Hassan, Kontinjen Johor telah menurunkan jenayah indeks dan ini memberi impak kepada peningkatan tahap keselamatan dan kesejahteraan negeri Johor.

“Penurunan indeks jenayah membuktikan keberkesanan kerjasama yang erat antara PDRM dengan masyarakat. Ini juga inisiatif kerajaan negeri dalam pelaksanaan Program Bandar Selamat dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

“Ini ditambah pula dengan inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM untuk menurunkan jenayah indeks sebanyak (5 peratus), pecah rumah dan curi (5 peratus) dan kadar pertuduhan kes jenayah sebanyak (30 peratus) setiap tahun,” katanya kepada Jauhar.

Dengan kepadatan penduduk di Johor mencatatkan hampir 3.496 juta orang, ditambah dengan kepesatan pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar, penurunan indeks jenayah ini merupakan satu pencapaian yang signifikan.

Sangkal Persepsi Negatif Isu Keselamatan Di Johor

Persepsi negatif mengenai keselamatan dan ketenteraman awam di Johor perlu disangkal serta diperbetulkan menggunakan semua bentuk media sebagai medium berinteraksi dengan masyarakat. Ini kerana, persepsi negatif itu masih belum dapat dikikis sepenuhnya walaupun jenayah indeks hakikatnya telah diturunkan dengan ketara dan signifikan.

Dato’ Hassan berkata, keadaan di Johor adalah selamat, aman dan terkawal. PDRM Kontinjen Johor bertekad melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan profesional untuk menjadikan negeri ini selamat diduduki.

“Penerapan Objektif Penghapusan Persepsi Negatif Mengenai Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri Johor dengan menggunakan media dan teknologi maklumat ke arah pembentukan interaktif berkesan dalam semua aktiviti polis di Johor termasuk menggunakan E-Alerts,” katanya.

Beliau berkata, usaha menangani kebimbangan jenayah terus giat dilakukan, dan PDRM sebagai learning organization memantapkan pelbagai inisiatif berasaskan kepada tiga keutamaan yang perlu diberi perhatian khusus oleh seluruh warga PDRM iaitu:

  1. Mengekalkan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.
  2. Mengawal serta mengekang jenayah melalui pencegahan.
  3. Penyiasatan berkesan serta memantapkan integriti dan pematuhan standard PDRM seiring dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan dilancarkan YAB Perdana Menteri, kesan positif telah dirasai masyarakat kerana pelaksanaan fizikal tersebut dapat dilihat dan perubahan telah berlaku.

Pendekatan Permuafakatan PDRM Johor

Muafakat Johor, Pembangunan pro-Rakyat dan Merakyatkan Kerajaan, merupakan tiga pendekatan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Menggunapakai pendekatan permuafakatan dalam aspek keselamatan, PDRM Johor menggariskan beberapa inisiatif untuk mempertingkatkan lagi kecekapan dalam perkhidmatan untuk masyarakat. Antaranya:

  1. Projek Inovasi Komunikasi Penyebaran Maklumat Jenayah Melalui Radio Teksi: Projek inovasi ini melibatkan 200 teksi syarikat Radio Teksi Mawar. Semua teksi terlibat boleh menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen jika mempunyai maklumat kejadian jenayah atau penyaluran maklumat ketenteraman awam lain. Pusat Kawalan Kontinjen juga boleh menghebahkan maklumat bagi membolehkan radio teksi terlibat menyalurkan maklumat dikehendaki kepada polis.
  2. Program Night Walk dan Back To School: Program pegawai dan anggota membuat rondaan berjalan kaki bersama penduduk pada waktu malam bagi pencegahan jenayah dan siri lawatan ke sekolah dalam bentuk ziarah untuk meningkatkan kesedaran jenayah di kalangan pelajar.
  3. Program Lawatan Susulan Kepada Mangsa Jenayah: Lawatan yang diadakan untuk menjamin tindakan dan pemulihan psikologi terhadap mangsa jenayah. Lawatan ini dilakukan pegawai kanan polis.
  4. Mengadakan engagement berterusan dengan masyarakat di semua peringkat termasuk dengan pihak badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial