Institut Inovasi Strategik Johor Hab Ilmuan

UTM2

 

Oleh Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo

Saya kagum dengan pandangan jauh dan pemikiran mendahului zaman Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin apabila beliau mencadangkan UTM menerajui kekuatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di Johor mengembeleng tenaga membangun hub inovasi canggih di Iskandar. Beliau bayangkan satu hari nanti, UTM boleh menjadi seakan Stanford University yang berjaya melahirkan Stanford Industrial Park bagi menyokong pembangunan Lembah Silicon di San Fransisco sebagai mercu kebanggaan inovasi global.

Dua perkara asas yang dibangkitkan oleh Khaled dalam ucapan perasmian penubuhan Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) pada 21 Mac lalu di UTM Johor Bahru. Pertama, beliau menyatakan secara jelas dan dengan iltizam tinggi bahawa ahli akademik (ilmuwan) di IPT adalah aset intelek unggul untuk membangun Johor yang lestari. Perakuan yang jarang didengar daripada pemimpin politik sesebuah negeri. Beliau mencabar ahli akademik, jika ilmu di dada gagal dimanfaatkan untuk pembangunan bangsa dan negara, maka ia adalah suatu tragedi kepada peradaban.

Kedua, beliau percaya membangun negeri dan mengangkat kesejahteraan warga Johor adalah tanggungjawab mencabar dan tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa sokongan dan kebitaraan ilmuwan di IPT. Dasar dan iltizam politik tidak mencukupi untuk menjayakan program pembangunan, jika pemikiran, pengetahuan dan inovasi dimiliki ilmuwan tidak digembeleng. Saya mengingatkan beliau, bakat ilmuwan tidak sahaja di Johor, malah ramai di IPT seluruh negara.

Meraikan inovasi untuk pembangunan negeri ada pelbagai cabaran. Cabaran ini bukan sahaja daripada faktor dalaman seperti tahap kemajuan dan budaya berinovasi di sekitaran IPT, tetapi berkait rapat dengan cirian dan amalan dalam sistem industri, masyarakat dan kerajaan. Jika industri masih taksub dan selesa dengan teknologi luaran dan jentera kerajaan dibelenggu dengan kerenah birokrasi, tiada yang dapat diinovasikan oleh minda pintar dari IPT.

Budaya IPT peringkat kebangsaan masih mengamal dan menjalankan fungsi tradisi iaitu penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan akademik. Penyelidikan untuk meneroka ilmu dan berkongsi sesama ilmuwan menjadi amalan kesarjanaan dan kewibawaan akademik. Pendidikan untuk menghasilkan graduan, pelapis kepimpinan dan bakat mahir tidak mungkin boleh dipinggirkan untuk kelestarian pembangunan negara. Dalam perkhidmatan akademik, ilmuwan selesa dan bersedia memberi sumbangan bermakna kepada pihak berkepentingan.

Untuk menyahut cabaran murni Menteri Besar Johor, saya berpendapat IISJ perlu mencetus paradigma baharu berinovasi, sejajar dengan falsafah dan fungsi IPT sedia ada iaitu penjana, penyebar dan pemimpin ilmu. Saya pernah syorkan konsep inovasi yang sesuai diamalkan oleh IPT tempatan jika mahu menyahut tuntutan semasa iaitu dengan mentakrif semula penyelidikan dan perkhidmatan daripada perspektif inovasi ilmu, inovasi teknologi dan inovasi sosial.

Dalam konteks inovasi ilmu, bagi memperkasa dan mengekalkan kepimpinan kesarjanaan ahli akademik perlu menerbit dalam jurnal berimpak tinggi. Kualiti ilmu dikawal dan budaya perkongsian pemikiran aras tinggi disuburkan. Sumbangan intelek tidak seharusnya terhenti setakat berkongsi ilmu sesama pakar, sarjana perlu digalakkan untuk turut menyumbang pemikiran melalui penulisan bersifat pengaruh dasar dan pendidikan awam.

Kunci kejayaan iltizam Khaled terletak kepada inovasi teknologi. IISJ seharusnya menjadi institusi pemikir berkaitan hala tuju pembangunan teknologi Johor. Teknologi yang perlu diterajui Johor untuk menjadi pemimpin transformasi, pendahulu perubahan sambil mengekalkan daya saing ekonomi. Pada hemat saya, sektor maritim dan sumber kelautan, teknologi hijau, pendidikan holistik, keselamatan makanan, kelestarian pelancongan adalah peluang yang boleh diterajui. Penyediaan dana penyelidikan berterusan untuk menghasilkan inovasi teknologi dalam semua sektor ini diperlukan.

Kunci kejayaan paling berstrategi bergantung kepada keupayaan IPT mengerakkan inovasi sosial. Kelemahan dalam mengharungi perubahan atau merebut peluang minda pemain industri, komuniti dan pemimpin kerajaan itu sendiri. Berasaskan ilmu yang telah terkumpul, ahli akademik berupaya meneroka gagasan inovasi sosial ke arah komuniti berminda kelas pertama, peneraju perubahan dan membina pasukan yang bersedia menyahut cabaran serta persaingan global.

Johor mampu menjadi peneraju gagasan perubahan berteraskan ilmu untuk negara dan bangsa. Sebagai anak Johor, saya yakin dengan wawasan serta iltizam Khaled mengembeleng komuniti ilmuwan menjayakan maufakat Johor. Inilah masanya bagi warga universiti melalui IISJ membuktikan keupayaan dan kecemerlangan institusi istimewa ini. – BERITA HARIAN

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, LESTARI-UKM, dan Profesor Pelawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial