Integriti Sikap Yang Harus Dibudayai, Bukan Cogan Kata – MB Johor

image

 

JOHOR BAHRU, 17 Julai – Integriti adalah satu sikap yang harus dibudayai dan bukan hanya dijadikan sebagai cogan kata atau slogan, demikian kata Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menggariskan tiga perspektif utama mengenai integriti yang harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian iaitu pertama, integriti yang melibatkan budaya, nilai dan citra sebenar masyarakat.

“Datang kerja tepat waktunya adalah integriti. Tidak menggunakan kemudahan, dana dan harta awam untuk kepentingan sendiri adalah integriti.

“Mengelakkan pembaziran wang rakyat dan berbelanja secara berhemah adalah integriti. Malah, menyiapkan tugas dengan pantas, telus dan menepati masa juga adalah integriti. Ia harus dijiwai dan bukan dipamerkan di serata pelusuk pejabat dan media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar Integriti Korporat Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Johor di sini, hari ini.

Tambah beliau, perkara kedua adalah amanah dan integriti membawa bersamanya peluang dan manfaat yang tiada batasan.

“Integriti dan amanah adalah pemacu sebenar sebuah kemajuan bagi sebuah negara dan bangsa. Lihat sahaja budaya di negara maju, resepi kejayaan mereka bukan sesuatu yang rahsia atau sukar untuk dipelajari. Ia mudah sekali, iaitu berlaku benar, jujur, amanah dan hiduplah dengan penuh integriti,” katanya.

Menurut beliau lagi, satu-satunya jalan untuk mempertahankan reputasi integriti ialah dengan menghindari mereka yang tidak amanah.

“Jangan berurusan dengan mereka, jangan melakukan perniagaan dengan mereka, elakkan dari berada di kalangan mereka dan jangan sesekali terperangkap dalam segala janji manis dan pujuk rayu yang semuanya akan melunturkan integriti kita.

“Maka kerana itu, kita harus dekat dan bersahabat dengan mereka yang amanah. Kerana kelompok sahabat yang kita pilih sebenarnya menggambarkan peribadi kita yang sebenarnya,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim; Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abdul Ghani dan exco-exco Kerajaan Negeri.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial