IPO AL-SALAM REIT DIJANGKA JANA RM252 JUTA

JCorp-Johor-Corporation (1)

JOHOR Corporation (JCorp) menjangkakan Tawaran Awam Awal (IPO) Al-Salam REIT menjana perolehan kira-kira RM252.36 juta. Sebahagian perolehan ini difokuskan untuk pembayaran pertimbangan pembelian hartanah terlibat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, harga tawaran IPO Al-Salam REIT adalah RM1 seunit.

Menurutnya, kekurangan IPO REIT di pasaran tempatan mendorong JCorp menyenaraikan Al-Salam REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun ini.

“Al-Salam REIT merupakan unit amanah pelaburan hartanah JCorp dijangka disenaraikan pada 29 September ini. Ia merupakan REIT Islam pelbagai dan fokus kepada pelbagai aset patuh syariah termasuk runcit komersial, pejabat dan aset-aset perindustrian.

“Portfolio hartanah awalnya akan meliputi aset dengan jumlah nilaian RM903.14 juta yang diterajui Komtar JBCC yang terletak di Johor Bahru. Sebagai penaja, JCorp yakin aset Al-Salam REIT mempunyai profil berdaya tahan dan tidak akan terjejas dengan senario pasaran
semasa berikutan disokong aset serta pendapatan yang stabil,” katanya selepas pelancaran prospektus IPO Al-Salam REIT di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi JCorp, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kamaruzzaman berkata, Al-Salam REIT mempunyai aset RM900 juta dan menjangkakan perolehan sehingga RM2 bilion dalam masa tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, penyenaraian Al-Salam REIT adalah komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri melalui JCorp untuk menyokong dan menyumbang REIT Islam dan pasaran modal Islam.

“Ia  memberi peluang kepada orang ramai berkongsi kemajuan JCorp sekali gus memberikan manfaat kepada orang ramai kesan kemajuan dan kejayaan JCorp,” katanya.

Tambahnya, harga tawaran Al-Salam REIT membayangkan pulangan pengagihan 6.4 peratus untuk 2016.

Kira-kira 98 peratus daripada IPO atau 252.4 juta unit akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih manakala 11.6 juta unit atau baki dua peratus akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Tawaran IPO akan ditutup 15 September ini.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial