IRDA Peruntuk RM30 Juta Bagi Pembangunan Modal Insan Iskandar Malaysia Tahun Ini

0506_IRDAJOHOR BAHRU, 5 Jun – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memperuntukkan RM30 juta bagi pembangunan modal insan untuk koridor ekonomi itu tahun ini.

Ketua Eksekutifnya Datuk Ismail Ibrahim berkata RM10 juta akan datang daripada IRDA sendiri di bawah Dana Penempatan Pekerja Iskandar Malaysia (IMEG) dengan RM20 juta lagi daripada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi geran padanan gaji serta geran latihan bagi menggalakkan lebih banyak calon memenuhi keperluan tenaga kerja industri berkaitan terutamanya yang berdekatan wilayah ekonomi itu.

“Kami menjangkakan kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada peruntukan tersebut diambil. Lebih 200 syarikat di Iskandar Malaysia telah melahirkan minat untuk menyertainya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Pekerjaan Iskandar Malaysia ketiga, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Setakat ini, kata Ismail, IRDA meluluskan permohonan daripada 125 syarikat bagi IMEG melibatkan sejumlah 400 pekerja bagi calon yang layak.

IMEG adalah inisiatif yang disasarkan untuk mengurangkan jurang pekerjaan dan menggalakkan pekerjaan bagi mereka yang termasuk dalam kriteria layak untuk membina masyarakat inklusif.

Di bawah skim itu bagi mereka dengan gaji bulanan kira-kira RM2,000 hingga RM4,000, IRDA akan membayar kira-kira 50 peratus gaji pekerja bagi tempoh enam bulan.

“Terdapat juga kes di mana majikan berpuas hati dengan kualiti pekerja yang mereka terima, dan mereka langsung tidak menggunakan atau memohon geran padanan gaji daripada kami,” katanya.

Pameran hari ini menampilkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh lebih 90 syarikat di Iskandar Malaysia, terdiri 70 peratus syarikat multinasional dan 30 peratus syarikat besar hingga sederhana tempatan daripada pelbagai industri termasuk bioteknologi, perubatan, pembangunan hartanah, pelancongan dan minyak dan gas. — BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial