Iskandar Malaysia Catat Pelaburan Komited RM221 Bilion

Mohd Najib memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia. Turut bersama-sama Mohamed Khaled (tiga kanan); Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (tiga kanan); Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abd. Ghani Othman (dua kanan) dan Ismail Ibrahim (kiri).

ISKANDAR PUTERI, 6 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan dengan kemampuan Iskandar Malaysia apabila terus berjaya menarik pelaburan melepasi jangkaan selepas tempoh 10 tahun penubuhan wilayah ekonomi itu.

Beliau berkata, pelaburan komited terkumpul telah mencecah RM221 bilion, berbanding sasaran sebanyak RM215 bilion untuk tahun ini.

“Kerajaan Pusat telah membuat pelaburan sebanyak RM20 bilion, tetapi mendapat pulangan pelaburan sebanyak RM221 bilion.

“Ini menjadikan ia sebagai suatu pencapaian memberangsangkan yang memberi 10 kali ganda pulangan pelaburan,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia (IM10), di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Mohd Najib ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia.
Mohd Najib ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia.

Najib yang dalam rangka lawatan kerjanya ke negeri Johor turut berkata pelaburan di wilayah itu juga telah berjaya mewujudkan hampir 700,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor perkhidmatan seperti logistik, kreatif, pelancongan dan pendidikan.

Malah, golongan M40 telah meningkat sebanyak 7.9 peratus, manakala golongan B40 pula menurun sebanyak 7.7 peratus.

Dalam pada itu, beliau juga berkata tahap daya saing Iskandar Malaysia bukan sahaja untuk menarik pelaburan bernilai tinggi tetapi untuk membawa kesejahteraan rakyat.

“Pelbagai inisiatif diperkenalkan antaranya kemudahan Bas Iskandar Malaysia, Lebuhraya Pesisir Pantai sepanjang 14.6 kilometer yang tidak dikenakan tol serta pembersihan Sungai Segget.

“Malah, usaha penyediaan perumahan rakyat terus diberi perhatian dengan pembinaan 14,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina bagi mencapai sasaran pembinaan sebanyak 50,000 unit,” katanya.

Tambahnya lagi, inisiatif untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab Perkhidmatan Perniagaan Global atau Global Business Services (GBS) juga mampu menarik pelaburan sebanyak RM6.5 bilion dan mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM5 juta bagi pembinaan baru Masjid Taman Bayu Damai, Pengerang.

Manakala RM500 ribu serta tambahan RM2 juta pula diperuntukkan bagi Tabung Dana dengan kerjasama Khazanah Nasional untuk usahawan kreatif di Kilang Bateri.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial