Iskandar Malaysia Terima Komitmen Pelaburan RM5.27b

JOHOR BAHRU: Iskandar Malaysia dijangka meneruskan pertumbuhan kukuhnya tahun ini apabila merekodkan pelaburan komited berjumlah RM5.27 bilion bagi suku pertama 2017.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, berkata ia menjadikan pelaburan komited terkumpul koridor pembangunan Johor itu RM227.67 bilion sejak 2006.

Menerusi fasa ketiga pembangunan, katanya, Iskandar Malaysia akan memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan kemudahan disediakan untuk pelabur yang pada masa sama memanfaatkan rakyat.

“Sejajar pertumbuhannya, Iskandar Malaysia akan terus menarik lebih ramai populasi dan pengunjung bekerja serta tinggal di wilayah ini.

“Mobiliti adalah aspek yang perlu diberi penekanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa IRDA (MOA) ke-21 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya.

Ismail berkata, selaras dengan itu, sistem pengangkutan awam bagi wilayah ini akan dipertingkatkan menerusi penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap.

Katanya, Iskandar Malaysia akan memulakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) untuk menampung peningkatan penduduk yang dijangka mencecah tiga juta orang menjelang 2025 dengan fasa pertama projek dijangka siap pada 2020. “Satu lagi infrastruktur penting ialah hubungan yang akan diberi tumpuan dalam fasa ketiga pembangunan ketiga Iskandar Malaysia, iaitu menyediakan infrastruktur komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) pintar bagi kemudahan penduduk Iskandar Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mesyuarat MOA hari ini turut mengumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, sebagai wakil Persekutuan.

Pegawai Kewangan Johor, Mohd Nasir Abd Salam dinamakan wakil negeri susulan pelantikan mereka sebagai ahli MOA.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial