ISU INTEGRITI PERLU MASA DIBUKTIKAN – HISHAMUDDIN

image (11)

PADANG BESAR 15 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu integriti kepemimpinan yang dipersoalkan oleh rakyat terhadap pemimpin UMNO dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh diselesaikan dalam masa sekelip mata. Kata beliau, isu tersebut memerlukan siasatan lanjut oleh pasukan khas yang dibentuk untuk mencari bukti-bukti dan sudah tentu akan mengambil masa.

"Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, apa sahaja yang kerajaan jelaskan, akan dipertikaikan," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Hishammuddin diminta mengulas dakwaan bahawa isu IMDB bukanlah merupakan soal politik atau UMNO tetapi sebaliknya adalah integriti kepemimpinan dalam parti itu.

Beliau seterusnya memberitahu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merupakan satu institusi dan bukannya berkaitan individu tertentu sebagaimana agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.

Justeru katanya, mana-mana pemimpin PAC yang ditukar akan diganti bagi meneruskan siasatan 1MDB yang laporan akhirnya dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini.

"Saya yakin proses ini (siasatan) akan diteruskan untuk mencari penyelesaian dalam 1MDB. Inilah janji Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) menerusi rasionalisasi 1MDB, akauntabiliti dan ketelusan," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, hasil kunjungannya ke akar umbi di Johor baru-baru ini mendapati ahli-ahli UMNO tidak terpengaruh dengan isu-isu politik semasa sehingga boleh menjejaskan parti itu.

"Malah, Badan Perhubungan UMNO negeri telah melihat jauh ke hadapan dengan menyatakan untuk mewujudkan sekolah parti bagi melahirkan pemimpin UMNO pada 10 tahun akan datang.

"Dalam kita melayani isu-isu semasa, jangan lupa bahawa isu ekonomi negara, harga komoditi, nilai ringgit perlu ditangani bersama.

"Ini merupakan perjuangan UMNO sejak dahulu dalam menjayakan ekonomi dan keselamatan negara dan inilah yang perlu disampaikan oleh para pemimpin UMNO kepada akar umbi," ujar beliau.

Mengenai cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) seperti diumumkan Perdana Menteri semalam, beliau berkata, langkah itu membuktikan UMNO bersungguh-sungguh bersikap telus dalam isu sumbangan dana politik.

"Saya yakin ini merupakan perkara baik dan mendapat sokongan daripada majoriti undi senyap," katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial