Isu Tarif air berbeza setiap negeri – Exco

KOTA ISKANDAR: Struktur tarif air sesebuah negeri adalah berbeza dan ia bergantung kepada kos pembekalan air negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, struktur tarif bergantung atas beberapa faktor seperti amaun subsidi kerajaan, perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan, liputan perkhidmatan bekalan air, kepadatan penduduk, keadaan muka bumi, kualiti air mentah dan lain-lain.

Katanya, merujuk kepada keadaan muka bumi dan kepadatan rakyat serta agihan bekalan air, pihak operator bekalan air di Johor mengoperasikan 44 loji rawatan air dengan kapasiti pengeluaran 1,986 juta liter sehari (JLH).

“Pengeluaran itu meliputi loji rawatan air kapasiti di antara 1.82 JLH bagi loji yang kecil serta kurang ekonomik sehingga loji besar dengan kapasiti pengeluaran 318 JLH.

"Berbanding Pulau Pinang, sebanyak 10 loji beroperasi dengan kapasiti pengeluaran adalah 1,386 JLH. Di Pulau Pinang, setiap satu kilometer paip boleh menyalurkan bekalan air sehingga kepadatan 391 pengguna.

"Manakala di Johor, untuk memberi perkhidmatan yang baik, setiap satu kilometer paip hanya menyalurkan bekalan air ke 171 pengguna sahaja," katanya.

 Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Bajet 2015) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 13 di sini hari ini.

Hasni berkata, sehingga ke Disember 2012, sejumlah 20,308 kilometer paip telah dipasang untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air sewajarnya berbanding 4,118 kilometer paip di Pulau Pinang.

Katanya, faktor itu mengakibatkan Johor terpaksa membelanjakan kos infrastruktur air yang tinggi berbanding Pulau Pinang sekali gus menyebabkan kos operasinya tinggi.

"Antara dua kos operasi pembekalan air yang besar pada masa ini ialah kos sewa-pajak kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan kos elektrik. Sekiranya kedua-dua ini atau salah satu berlaku (tambahan atau penambahbaikan aset) maka kos pembekalan air perlu melalui penelitian dan kelulusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air.

"Sungguhpun begitu, ia harus bersifat menggalakkan penjimatan, mengekang pembaziran dan membantu kemiskinan di negeri ini. Penggunaan air domestik harian secara berhemah adalah sangat penting untuk menjamin kemampanan bekalan sumber air yang berterusan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Merujuk kepada isu lampu jalan kampung, untuk tahun ini, Johor menerima 6,000 unit lampu jalan kampung untuk diagih-agihkan di seluruh kampung di negeri ini.

Katanya, peruntukkan itu diharap akan dapat menerangkan kawasan liputan supaya kegiatan ekonomi, sosial dan riadah dapat dilaksanakan pada waktu malam dengan selamat dan selesa.

“Secara dasarnya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan maksimum 30 pemasangan lampu pada tiang lampu sedia ada bagi setiap kampung.

 “Lampu jalan kampung ini akan diagihkan kepada seluruh kampung mengikut keluasan kampung,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial