Jabatan Kecemasan Trauma HSA Kembali Beroperasi

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Sebanyak 16 daripada 18 wad di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Bangunan Induk Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang ditutup berikutan satu kebakaran maut tahun lepas, beroperasi semula mulai 1 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata pembukaan itu, yang dilakukan secara berperingkat, membabitkan wad-wad biasa dan sebuah wad Rawatan Rapi (ICU) Barat.

Beliau berkata wad Unit Penjagaan Intensif Kardiotorasik HSA dan wad ICU Selatan masih belum dibuka memandangkan ia memerlukan pemeriksaan, pembaikian dan penilaian lanjut daripada Kementerian Kesihatan.

“Selain wad, lapan dewan bedah juga beroperasi semula sepenuhnya,” kata beliau selepas melancarkan Kerjasama Perkhidmatan Pra-Hospital dan Ambulans di antara Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di perkarangan Bangunan Induk HSA di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah JBPM Johor Othman Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican.

Ayub berkata pada 8 Dis lepas, HSA menerima satu laporan audit Keselamatan Kebakaran Bangunan Induk daripada JBPM yang mengesyorkan ia melaksanakan empat langkah keselamatan jangka pendek.

Langkah berkenaan adalah mengadakan Latihan Asas Organisasi Keselamatan Kebakaran bersama JBPM, memasang Sistem Penggera Kebakaran jenis Pengesan Asap, menambah alat pemadam api jenis debu kering dan memastikan semua pintu keselamatan dan laluan keluar tidak terhalang.

Kebakaran di Tingkat Dua ICU HSA pada 25 Okt lepas meragut nyawa enam pesakit dan mencederakan beberapa lagi individu termasuk kakitangan hospital.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kapasitor di dalam lampu yang terbakar lalu merebak ke barang-barang mudah terbakar. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial