JABATAN LAUT DIMINTA KEMASKINI PERATURAN BERLABUH – AZIZ KAPRAWI

JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan meminta Jabatan Laut, terutamanya Jabatan Laut Batu Pahat memperkemas sistem labuhan kapal atau tongkang di jeti sekitar Sungai Batu Pahat.
 
Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, antara yang perlu dilaksana oleh Jabatan Laut adalah memantau dan memastikan tongkang atau kapal yang berlabuh mempunyai sistem yang mengikut spesifikasi antarabangsa.

Katanya, ia adalah bagi mengelak berlakunya kapal terlepas daripada ikatan dan dibawa arus seperti yang berlaku di Sungai Batu Pahat selain mengharapkan adanya tindakan pantas pihak berkuasa jika berlakunya situasi demikian. 

“Saya juga berharap kapal atau tongkang yang berlabuh ini perlulah berlabuh di jeti yang telah digazetkan dan bukannya diletak sesuka hati mereka di mana-mana tebing sungai.

“Apa yang saya tahu semua kapal penumpang dan juga kapal dagang serta tongkang yang beratnya melebihi 500 tan perlu berlabuh di tempat yang sesuai dengan mengikut spesifikasi antarabangsa dan ianya akan dikuatkusakan di sini juga. 

“Saya juga mahukan adanya pembinaan jeti baharu yang mengikut undang-undang dan spesifikasi yang ditetapkan, jika tidak mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya pada satu sidang media hari ini, 

Tambahnya lagi, bagi kes tongkang yang melanggar struktur Jambatan Batu Pahat, pemiliknya akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Jurutera JKR Batu Pahat, Alias Mohd Zin, berkata, Jambatan Batu Pahat masih selamat digunakan setelah siasatan awal dilakukan, namun pihak forensik JKR akan melakukan siasatan lanjut terhadap jambatan itu. 

Katanya, buat masa ini hanya lorong motosikal sahaja ditutup sehingga siasatan berkenaan selesai.

“Buat masa ini kami terpaksa menutup lorong motosikal atas faktor keselamatan… dan esok pihak forensik JKR akan memulakan siasatan ke atas struktur yang retak ini, dan daripada keputusan siasatan berkenaan juga tahap keselamatan lorong motosikal ini juga akan diberitahu,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial