JABATAN PELANCONGAN BANTU PBT PROMOSI PROGRAM SETEMPAT

image

PONTIAN – Jabatan Pelancongan negeri sedia membantu mempromosikan program atau karnival yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai salah satu cara meningkatkan kedatangan pelancong domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya menggalakkan PBT menganjurkan pelbagai program di kawasan masing-masing seperti yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang menjadikan Pesta Layang-Layang Antarabangsa sebagai acara tahunan.

“Majlis Daerah Pontian (MDP) juga merupakan PBT yang giat menganjurkan pertandingan memancing setiap tahun dan berjaya menarik ramai pelancong tempatan ke daerah ini,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tarian singa sempena Karnival Pontian di Pusat Perdagangan Pontian, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDP, Suhairi Hashim; Timbalan Ketua Whip MDP, Tan Chen Hock dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohd. Bain.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, usaha yang dilakukan oleh PBT amat bertepatan memandangkan mereka mempunyai segala kemudahan selain sumber kewangan yang kukuh.

“Jabatan Pelancongan sedia memasukkan program yang dianjurkan ke dalam Kelendar Pelancongan Negeri bagi membolehkan aktiviti tersebut disebar-luaskan kepada agensi pelancongan dan media massa,” katanya sambil memberitahu negeri ini mempunyai pelbagai produk pelancongan, termasuk tempat menarik, makanan dan seni budaya.

Beliau yakin dengan adanya kerjasama antara PBT, Jawatankuasa Pelancongan Daerah (JPD) dan Jabatan Pelancongan, jumlah pelancong ke negeri ini akan terus meningkatkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun negara dilanda krisis kejatuhan nilai wang ringgit, namun perkara itu turut memberi kelebihan bagi sektor pelancongan tempatan kerana pengunjung dapat menikmati kemudahan dengan harga yang lebih murah berbanding jika melancong ke luar negara,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial