JAGA INTEGRITI DALAM TUGAS – SULTAN PERAK

 

PUTRAJAYA – Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan pemimpin di negara ini agar bertindak sebagai pemegang amanah yang boleh dipercayai dan menjalankan fardu kifayah serta tugas awam mereka dengan berintegriti dan bertakwa.

Baginda bertitah, pemimpin juga harus sedar kepentingan memelihara dan mengukuhkan institusi di negara ini di samping mengekalkan integriti dan kebebasannya.

“Ia menjadi sangat penting untuk mengekalkan kepercayaan suci dan awam ini, bukan sahaja dalam situasi aman tetapi terutamanya ketika tempoh krisis,” titah baginda di Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia 2015, di sini, semalam.

Titah baginda, seruan tersebut sejajar dengan firman ALLAH SWT dalam surah Muhammad ayat 31 yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu’ dan surah Al-Hajj ayat 11 yang bermaksud: ‘Dan ada di antara manusia yang menyembah ALLAH dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata’.

“Apabila keadaan menjadi semakin sukar, ALLAH mengingatkan kita, bahawa kita akan mengetahui siapa yang benar-benar mempunyai integriti. Itulah ujian sebenar daripada ALLAH, ‘ujian tekanan’ terbaik untuk institusi, pengukur sebenar sama ada institusi kita boleh mengharungi badai.

“Sekiranya pemegang amanah ini gagal dalam ujiannya dan apabila al-amin tidak lagi dipercayai, sukar untuk memperoleh semula kepercayaan, integriti dan kebebasan institusi kita. Sama ada dalam bidang pendidikan, pentadbiran, kehakiman, agensi kawal selia dan penguat kuasa dan juga monarki,” titahnya.

Sementara itu, menyentuh isu pelarian Syria, baginda bertitah, negara Islam sepatutnya mencari jalan untuk membantu saudara sesama Islam.

“Beberapa minggu ini, kita menyaksikan nasib pelarian Syria yang terpaksa lari ke Eropah. Beta tersentuh dengan seorang pelarian Syria yang membandingkan  Canselor Jerman, Angela Merkel dengan Raja Habsyah, Raja Negus yang menyediakan perlindungan kepada kaum Muslimin ketika hijrah pertama pada zaman Nabi Muhammad SAW.

“Manakala, seorang lagi pelarian berkata akan memberitahu kanak-kanak Syria supaya melarikan diri ke Eropah sedangkan Makkah dan negara Islam lebih dekat dengan mereka. Beta harap ummah akan melakukan yang lebih baik dalam menangani krisis pelarian kita sendiri,” titahnya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial