Jalan Raya, Sekolah Agama, dan Air Antara Tumpuan Lawatan Parlimen Pagoh

Muar, 12 Feb – Lebih RM56 juta peruntukan pembangunan disalurkan ke kawasan Parlimen Pagoh sempena lawatan sehari Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke kawasan itu hari ini.

Daripada jumlah itu,  Kerajaan Negeri memperuntukkan RM14.67 juta untuk penyelenggaraan, naik taraf dan pelebaran jalan-jalan di kawasan parlimen berkenaan.

Sejumlah RM7.05 juta adalah untuk projek menyelenggara dan  melebarkan jalan-jalan kampung.

RM4 juta lagi diperuntukkan untuk menyelanggara jalan-jalan negeri manakala RM3.01 juta pula untuk penyelenggaraan jalan-jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu, sebanyak RM616,000 turut diperuntukkan untuk projek jalan kampung Bukit Bendar.

Mohamed Khaled turut mengumumkan projek pembinaan enam Sekolah Agama Johor membabitkan peruntukan RM15 juta.

Daripada jumlah itu, empat daripadanya telah siap manakala dua lagi sedang dibina.

Beliau juga mengumumkan penambahan sebuah lagi sekolah agama di kawasan Sungai Terap melalui projek pembinaan Sekolah Agama Johor (Fasa 6) yang akan dibina tahun hadapan.

Bagi membantu anak-anak daripada golongan asnaf di kawasan parlimen Pagoh, sejumlah RM459,000 diperuntukkan melalui program bantuan awal persekolahan.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM330,000 untuk kerja baik pulih sekolah-sekolah di situ.

Selain itu sejumlah RM315,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih masjid dan surau di kawasan parlimen berkenaan.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM300,000 untuk membina kompleks penghulu di kawasan yang bakal diputuskan oleh Pejabat Daerah.

Mohamed Khaled mengumumkan peruntukkan RM500,000 untuk projek Laman Komuniti Kampung Liang Batu di Mukim Lenga yang akan menjadi tapak perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta kawasan rekreasi bagi penduduk setempat.

Sejumlah RM500,000 juga diperuntukkan untuk projek naik taraf kawasan rekreasi tepian sungai pekan Panchor.

Kawasan perkuburan bagi masyarakat Cina dan India turut diberi perhatian apabila Mohamed Khaled mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan melakukan proses pengambilan tanah milik swasta seluas 11 ekar untuk dijadikan tapak perkuburan masyarakat Cina di pekan Lenga.

Manakala peruntukan RM50,000 pula diperuntukkan bagi pewujudan tapak perkuburan masyarakat India di Bukit Pasir. 

Selain daripada peruntukan Kerajaan Negeri, kawasan parlimen Pagoh turut mendapat peruntukan pembangunan dari Kerajaan Persekutuan.

Ia termasuk projek pembinaan tangki air baru di Bukit Serampang membabitkan peruntukan RM24 juta.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial