Jangan Adakan Demonstrasi Jalanan

KULAI, 6 Nov – Rakyat negeri ini harus mematuhi titah Sultan Johor supaya demonstrasi jalanan tidak diadakan di negeri ini bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat negeri ini seharusnya matang dan menilai dengan baik titah baginda serta tidak melibatkan diri dengan sebarang bentuk demonstrasi.

“Kerajaan negeri menjunjung kasih dan menyambut baik titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan berharap rakyat faham kera­na Tuanku amat mengambil berat, sayang serta tidak mahu melihat rakyat negeri ini berpe­cah belah.

“Seruan untuk bersatu dan bermuafakat itu bukan perkara baru bagi rakyat Johor dan ini telah menjadi agenda kita selama ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Landskap Negeri Johor 2016 di Hutan Bandar Putra, di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi.

Khamis lalu, semasa Perhimpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang, dekat sini, Sultan Johor dalam titahnya menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang bentuk demonstrasi di negeri ini.

Baginda bertitah, larangan itu kerana demonstrasi jalanan mengganggu ketenteraman awam, memberikan imej tidak baik kepada negara dan menyifatkannya sebagai budaya sesat serta terikut-ikut cara luar dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Tambah Mohamed Khaled, pihaknya berharap rakyat negeri ini tanpa mengira kecenderu­ngan politik mereka memahami dan mnengambil nasihat Sultan Johor sebagai nasihat daripada seorang pemimpin negeri kepada rakyatnya. – Utusan Online

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial