Jangan Gadai Masa Depan

KLUANG 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadai masa depan negara dengan memilih pihak yang bercelaru dan tidak tahu siapa ‘taukenya’.

Justeru itu, Perdana Menteri meminta rakyat terus memilih Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang kukuh dan terbukti mampu mentadbir negara dengan baik seperti hari ini, sekali gus membawa kejayaan menakjubkan.

Menurutnya, dengan kecekapan pentadbiran kerajaan sekarang ini, negara mampu mengecapi keamanan dan keselamatan sehingga menduduki tangga ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain.

“Kita ada kestabilan politik yang menyumbang kepada kerajaan kukuh dan kuat. Jadi janganlah kita gadai masa depan kita, janganlah pilih orang yang bercelaru, tidak tahu siapa tauke sebenarnya.

“Masing-masing ada jawatan, tidak tahu siapa bosnya. Kita tidak boleh (salah pilih), kita mesti pilih sebuah parti yang kukuh terbukti mampu mentadbir negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2017 di Taman Sri Lambak, Sembrong, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, Najib turut meluluskan permohonan pembinaan 500 rumah mampu milik di Paloh, di sini serta 500 rumah generasi kedua Felda di Kahang selain menaik taraf Pondok Polis Taman Sri Lambak kepada balai polis.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mempunyai misi, visi dan perancangan untuk memastikan rakyat dan Malaysia mencapai status negara maju termasuk menyediakan pelbagai kemudahan pengangkutan moden.

“Kita ada kemampuan untuk melaksanakan semua itu, kita tidak cakap omong kosong bukan macam pembangkang, kita cakap kita buat, dia (pembangkang) boleh janji macam-macam tapi habuk pun tidak dapat,” katanya. – Utusan Online

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial