72 Views

Jangan Iri Hati Dengan Johor

Mohamed Khaled menunggang motosikal bersama Ali Mazat dan ahli rombongan lawatan yang lain ketika lawatan ke Kg Sri Muar, Kulai
Mohamed Khaled menunggang motosikal bersama Ali Mazat dan ahli rombongan lawatan yang lain ketika lawatan ke Kg Sri Muar, Kulai

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengingatkan pihak yang tidak senang melihat pembangunan dan pertumbuhan di negeri itu agar tidak iri hati dan mempolitikkannya.

Tegas beliau, kemajuan dan pertumbuhan pesat di negeri Johor hanya akan membawa limpahan dan manfaat kebaikan untuk rakyat dan Malaysia keseluruhannya.

“Jayanya Johor maka jayanya negara kita Malaysia. Sekurang-kurangnya, pertama, kita ada rancangan bagaimana kita nak buang imej yang selama ini orang kata Johor ini adalah halaman belakang Singapura.

“Kedua kita nak tentukan kedudukan kita dengan membawa pertumbuhan dan pembangunan itu, sekurang-kurangnya kita sebagai dua negara yang berbeza, kita boleh selari setanding dan saling melengkapi. Bukan satu lebih tinggi daripada yang lain, supaya kita dihormati, ada martabat dan ada kedudukan.

“Apabila kita membangun, kita tidak kata ia hanya untuk orang Johor kerana walaupun kita menyebut tentang Bangsa Johor, kita terima semua orang luar, datanglah dan sama-sama kongsi kemakmuran Johor.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai lawatan kerja sehari ke parlimen Kulai hari ini.

Mohamed Khaled merasmikan jalan baharu sepanjang 5km yang menghubungkan Felda Taib Andak ke Felda Inas.
Mohamed Khaled merasmikan jalan baharu sepanjang 5km yang menghubungkan Felda Taib Andak ke Felda Inas.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Kulai, Za’anal Misran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh dan Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani.

Tambah Mohamed Khaled, rakyat perlu memahami bahawa pembangunan dan pertumbuhan di Johor akan terus berlaku dan tidak dapat ditolak, lebih-lebih lagi apabila kemahuan dan keperluan rakyat semakin meningkat dan pelbagai.

“Rakyat semakin ramai, mutu hidup semakin meningkat, keperluan mereka pelbagai, berbeza daripada dulu.

“Rakyat yang sentiasa meminta supaya kerajaan menyelesaikan itu dan ini, dia mesti tahu tanpanya pembangunan dan pertumbuhan, bagaimanakah masalah mereka akan diselesaikan?

“Untuk memenuhi segala keperluan mereka itu, kita perlu melakukan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi kerana kalau tanpa itu, kita tidak akan dapat memenuhi hasrat rakyat,” kata beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial