Jangan Melobi Saya Untuk Dapatkan Rumah – Sultan Johor

Model Rumah Impian Bangsa Johor

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya tiada pihak yang cuba untuk ‘melobi’ baginda untuk mendapatkan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim yang baharu dilancarkan semalam.

Baginda juga bertitah sebuah Lembaga Pemilihan akan ditubuhkan untuk membuat tapisan dan penilaian terhadap setiap permohonan.

“Rumah ini akan ditawarkan kepada golongan yang betul-betul layak sahaja, dengan syarat-syarat pemilihan yang amat ketat. Satu Lembaga Pemilihan akan ditubuhkan untuk membuat tapisan dan penilaian terhadap setiap permohonan.

“Oleh itu, jangan melobi saya untuk dapat rumah tersebut. Saya akan pastikan projek ini berjaya demi memberikan peluang kepada Bangsa Johor yang kurang berkemampuan untuk memiliki sebuah rumah yang selesa.

“Inilah hadiah daripada saya untuk membantu rakyat Johor yang betul-betul susah,” titah baginda pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Tahun 2017 di Istana Besar Johor Bahru, hari ini.

Menurut baginda, projek Rumah Impian Bangsa Johor yang dilancarkan di Galeria@Kotaraya semalam merupakan sebuah projek perumahan istimewa bagi membantu rakyat di negeri ini yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.

“Yang paling istimewa, harga jualan rumah tersebut adalah di bawah RM100,000  sahaja dan bayaran deposit pembeliannya pula hanya sebanyak RM1, dengan pembiayaan 100% daripada Bank Rakyat,” titah Sultan Ibrahim.

Pembangunan projek Rumah Impian Bangsa Johor itu akan dilaksanakan di bawah Yayasan Sultan Ibrahim dengan kerjasama Johor Corporation dan Bank Rakyat.

Projek pertama akan dibangunkan di kawasan Bandar Dato Onn, dekat sini, melibatkan sebanyak 500 unit rumah teres, semi-d dan banglo yang dilengkapi peralatan penghawa dingin, mesin basuh, peti ais dan beberapa perabot asas.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial