JANGAN MUDAH PERCAYA DAKWAAN MELULU

981124_549172138579435_8473601975596949542_o
BATU PAHAT,7 JAN – Rakyat jangan mudah mendengar dan percaya dakwaan pihak-pihak tertentu mengenai Bandar Malaysia yang didakwa akan menjadi milik syarikat kerajaan China.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, semua pihak harus berfikir secara rasional kerana pegangan kerajaan dalam Bandar Malaysia itu bukan satu jumlah yang kecil.
Katanya, malah penyertaan syarikat daripada China itu dalam Bandar Malaysia tidak memastikan bahawa ia akan memiliki Bandar Malaysia kerana ia turut akan dibeli oleh pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia.
 “Sama keadaan apabila syarikat daripada negara China menjadi pemaju, bukan bermakna hartanah itu semua daripada negara China akan beli. Kita boleh tengok pembangunan di banyak tempat.
Pemaju  bawa pengalaman, modal, tapi bila siap kelak dia akan jual kepada semua termasuk rakyat Malaysia.
“Saya ingat kita ini dari segi pendidikan, tahap pemikiran sudah hendak masuk negara maju tetapi kita juga kena fikir secara mendalam,logik, rasional…Jangan terperangkap dengan mainan politik pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, mengambil contoh beberapa bentuk pelaburan yang dibuat syarikat negara ini di luar negara, tidak menjadikan kawasan berkenaan milik negara.
“Kita ambil contoh JCorp melabur di United Kingdom, buat bangunan, rumah…adakah semua orang Malaysia akan datang beli rumah di situ? Tidak…dan tidak mungkin pun daripada pengalaman kita.
“Kita tengok Projek Battersea yang dibuat oleh kumpulan konsortium syarikat-syariat Malaysia..Kalau dikira begitu, jangan benarkan mereka melabur di London,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan restoran makanan segera Burger King di sini yang dikendalikan oleh AM Setia Restaurant Sdn Bhd.
Ditanya mengenai pelaburan baru yang akan wujud di Johor, Mohamed Khaled berkata, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun dalam tempoh terdekat untuk berjumpa dengan pelabur di sana dan ada syarikat daripada Jepun dijangka akan membuat pelaburan di Johor.
“Ada yang sudah membuat keputusan untuk membuat pelaburan di Tanjung Langsat dengan nilai kira-kira setengah bilion ringgit,” katanya.
Beliau berkata, Johor menerima pelabur daripada mana-mana negara asalkan pelaburan itu memberi nilai tambah dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan juga negeri Johor.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan AM Setia, Datuk Md. Azemi Mahat.
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial