Jangan Mudah Percaya

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Rakyat diminta untuk tidak mudah mempercayai dakyah pembangkang yang memainkan sentimen kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri tanpa mengetahui punca kerugian itu.

Memberi contoh projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata Kerajaan Negeri kadang kala terpaksa menanggung kerugian demi memastikan janji untuk menyediakan perumahan mampu milik dapat ditunaikan kepada rakyat.

“Atas sebab itulah kadang-kadang kita kena faham apabila pembangkang mengatakan kerajaan menanggung kerugian, kita sebenarnya membiayai subsidi. Jika tidak mahu tanggung rugi boleh, kita tidak akan jual rumah pada RM42,000, tetapi kita jual pada harga pasaran.

“Jangan kita termakan dengan cakap-cakap pihak yang sememangnya mahu menjatuhkan kerajaan. Kalau tidak mahu kerajaan rugi kita akan letak harga begitu (mengikut pasaran) tetapi sudah tentu rakyat tidak mampu untuk membeli rumah-rumah yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti PIJ Holding ini,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan
Kunci kepada 71 pembeli yang berjaya pada projek Taman Perbadanan Islam (TPI) Datin Halimah serta Majlis Cabutan Undi PKJ A TPI Stulang Baru.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri menanggung kerugian kira-kira RM27.6juta bagi melaksanakan projek TPI Datin Halimah dan TPI Stulang Baru.

Daripada jumlah itu, RM22 juta adalah subsidi pembinaan Kerajaan Negeri bagi TPI Stulang Baru manakala RM5.6 juta bagi TPI Datin Halimah.

“Bagi rumah di TPI Datin Halimah, akan dijual dengan harga RM139,000, walaupun sebenarnya boleh dijual dengan harga RM200,000. Ini kerana PIJ Holdings memberi subsidi, Kerajaan Pusat juga memberi subsidi melalui progam Myhome.

“Kerugian TPI Datin Halimah ini diserap oleh PIJ dan begitu juga TPI Stulang Baru PKJ A sebanyak 126 unit yang dijangka siap awal tahun hadapan dan akan dijual pada harga RM42,000,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menambah penawaran rumah berharga bawah RM300,000 di negeri ini.

“Rumah berharga RM150,000-RM350,000 tidak banyak, jadi semua mendaftar untuk Rumah Mampu Milik Johor, hendak membeli rumah lebih daripada harga itu tidak mampu.

“Jadi saya telah berbincang dengan agensi Kerajaan Negeri untuk melihat segmen rumah RM300,000 ke bawah,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Md Jais Sarday; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Azmi Rohani dan Pengarah Urusan PIJ Holdings, Rozan Mohd Saat.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial