Jangan Sampai Hilang Rasa Hormat

JOHOR BAHRU, 13 Dis – Pemuda UMNO Johor Bahru bimbang dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sejak kebelakangan ini yang dilihat semakin menghakis rasa hormat rakyat terutamanya golongan muda terhadap beliau sebagai negarawan terbilang.

Ketua pemudanya, Datuk Syahrin Md Jamaluddin, tindak tanduk dan kenyataan Tun Mahathir kini dilihat semakin bercelaru dek mengejar kepentingan politiknya.

Menurutnya, tindakan terbaharu Pengerusi Bersatu itu yang sekali lagi membuat tuduhan tidak berasas mengenai isu hartanah dan kerakyatan di Johor menggambarkan beliau seolah-olah membelakangkan fakta.

“Kita bimbang apabila Tun Mahathir yang selama ini dikenali sebagai pemimpin berwawasan, berpegang kepada fakta dan tokoh ulung negara semakin menyimpang dari sifat-sifat tersebut yang akhirnya boleh menyebabkan rakyat hilang rasa hormat terhadap beliau.

“Dek mahu mengejar cita-cita politik untuk ahli keluarganya, Tun Mahathir sanggup menggadaikan prinsip diri dengan bermain dengan cerita sensasi dan tuduhan melulu kepada kerajaan termasuk kerajaan negeri Johor,” katanya.

Syahrin berkata demikian sebagai reaksi kepada enteri terbaharu Tun Mahathir di blognya yang menuduh Kerajaan Johor akan memberikan 700,000 kad pengenalan kepada warga asing di negeri itu.

Jelas Syahrin lagi, Pemuda Umno Bahagian Tebrau akan berdiri teguh di belakang kepimpinan menteri besar mempertahankan Johor apabila ‘diserang’ secara tidak beretika oleh mana-mana pihak termasuk Tun Mahathir sendiri.

Menurut beliau, Pemuda Umno Tebrau memang menghargai segala jasa yang disumbangkan Tun Mahathir sepanjang 22 tahun mentadbir negara, namun jika bekas pemimpin nombor satu negara itu berterusan ‘menyerang’ kepimpinan negara dan negeri Johor, mereka akan berjuang habis-habisan.

“Hormat tetap hormat tapi kalau Tun Mahathir berterusan main politik tidak bersih seperti ini, kita akan berdiri teguh mempertahankan pemimpin kerajaan negeri Johor di bawah teraju Mohamed Khaled.

“Matlamat politik tidak boleh menghalalkan sebarang cara yang melanggar prinsip-prinsip kerukunan dan keharmonian negara,” katanya.

Sementara itu, Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak adil.

Presidennya, Manndzri Nasib berkata, dakwaan bekas perdana itu adalah kenyataan yang tidak jujur.

“Ini adalah sesuatu yang tidak adil, menghina kebijaksanaan Johor dan menidakkan patriotisme Bangsa Johor.

“Lebih menyayat hati, Tun Mahathir mengiyakan kuasa asing dalam ulasan negatif yang dilapor media barat berkaitan isu ini,”katanya.

Manndzri berkata, beliau yang lahir dan membesarkan ketika di bawah kepimpinan Tun Mahathir menyoal niat sebenar bekas pemimpin negara itu.

“Orang Johor tidak pernah terfikir untuk menggadai kedaulatan dan tidak akan sama sekali membenar demokrasi dan kesetiaan dikhianati kerana mahu menang dan kekal berkuasa, membenar pemberian sejumlah besar kerakyatan Malaysia kepada pekerja asing yang bekerja di sini.

“Secara sejarah dan pengalamannya terlepas kes Pulau Batu Putih memberi kesan dan menambah tebal kecintaan Bangsa Johor kepada tanah airnya,” katanya.

MBNJ memberikan sepenuh kepercayaan dan semangat buat Dato’ Mohamed Khaled Nordin agar fokus dan tekad dalam melakar harapan dan masa depan negeri ini.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial