Jawatankuasa Ditubuh Bagi Selesaikan Rumah Generasi ke-2 Felda

MUAR, 13 Feb – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin semalam mengumumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Felda bagi menangani masalah rumah generasi kedua Felda di negeri itu.

Menurut beliau, jawatankuasa itu, yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Hasni Mohammad, akan mengadakan perbincangan dengan Felda bagi melihat keperluan di setiap kawasan yang terlibat.

“Kita tahu memang ada masalah-masalah pelaksanaan dan kita bersedia bersama Felda serta Kerajaan Pusat untuk memastikan projek ini tidak terbengkalai.

“Ini kerana, selain menyediakan rumah-rumah kepada masyarakat, memang ada keperluan kepada generasi kedua Felda yang memerlukan rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Perumahan Komuniti Johor (PKJ) di Lenga, sempena lawatan kerja sehari beliau ke parlimen Pagoh.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed, Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzaman Abu Kassim

Tambah Mohamed Khaled, pihaknya komited untuk meningkatkan pemilikan rumah bagi setiap individu di negeri itu kerana ia penting bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita berharap pendekatan tersebut dapat membantu mengatasi masalah yang timbul dan jawatankuasa itu juga akan menentukan prosedur sistem kerajaan yang dapat diseragamkan,” katanya.

Mohamed Khaled bersalaman bersama pekerja pembersihan selepas merasmikan Dataran Bukit Pasir.
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial