JAWATANKUASA PENDUDUK TUBUH KOPERASI

image (7)

PONTIAN – Kesukaran mendapatkan sumber kewangan bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan memberi idea kepada jawatankuasa penduduk menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan sampingan. 

Koperasi Perindu Pontian Berhad yang ditubuhkan jawatankuasa penduduk dari tiga taman perumahan iaitu Taman Desa Harta Permai, Taman Desa Baiduri dan Taman Harta Indah menjadi pencetus kepada penubuhan koperasi komuniti penduduk di daerah ini.

Pengerusinya, Khairuddin Sabikin berkata, koperasi yang ditubuhkan sejak Mac lalu itu, telah berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM6,000 melalui penjualan jeruk madu Perlis, antara cabang perniagaan utama yang dijalankan koperasi berkenaan. 

Menurutnya, perancangan hampir dua tahun diperlukan bagi penubuhan koperasi yang memberi tumpuan kepada perniagaan makanan dan perkhidmatan ini sebelum keputusan bagi menubuhkan koperasi komuniti ini dilakukan pada tahun lalu. 

“Alhamdulillah, idea untuk menubuhkan koperasi oleh salah seorang ahli jawatankuasa penduduk diterima, malah kami ketika itu bersemangat untuk mengetahui lebih mendalam tentang koperasi. 

“Selepas perbincangan dilakukan bersama ahli jawatankuasa penduduk, banyak idea perniagaan yang diberikan, namun kami tertarik dengan perniagaan jeruk madu yang belum lagi diusahakan secara komersial di daerah ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Jelasnya, dengan modal permulaan sebanyak RM3,800 yang diperoleh daripada syer permulaan ahli koperasi sebanyak RM100 daripada 38 ahli, ia dimanfaatkan sepenuhnya bagi urusan pendaftaran koperasi dan mendapatkan jeruk madu serta beberapa peralatan perniagaan. 

“Dengan modal yang rendah, kami buktikan koperasi Perindu mampu ditubuhkan hasil kerjasama ahli yang bersatu padu. Selepas dua bulan ditubuhkan kami sudah menuai hasil dan mengorak langkah untuk menceburi bidang pembekalan barang makanan. 

“Jumlah ahli koperasi juga sudah bertambah kepada 63 orang dalam tempoh dua bulan sejak ia ditubuhkan. Kami meletakkan sasaran sebanyak 2,000 ahli akan menyertai koperasi dalam tempoh setahun,” katanya.

Tambahnya, pendapatan daripada koperasi itu juga akan dapat membiayai perbelanjaan aktiviti kemasyarakatan penduduk dianggarkan seramai 600 orang di situ, pada masa akan datang.

“Kami turut menjana pendapatan ahli melalui perniagaan makanan yang dijalankan di Jalan Delima, Pusat Perdagangan Pontian yang baru beroperasi,” katanya.
 
Sumber : Sinar Harian
Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial