JCorp Lancar Wakaf Saham Tawaran Awam Pertama Di Dunia

JOHOR BAHRU, 18 Jun – Johor Corporation (JCorp) hari ini melancarkan tawaran awam wakaf saham pertama di dunia, Waqaf Saham Larkin Sentral yang akan ditawarkan kepada orang ramai.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, ia melibatkan penawaran saham oleh Larkin Sentral Property Berhad kepada institusi dan orang awam, yang kemudiannya diwakafkan kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad.

Menerusi wakaf saham itu, sebanyak RM85 juta tawaran saham baharu akan diperkenalkan membabitkan 850 juta unit saham bernilai RM0.10 seunit.

“Ia dibuka kepada segenap lapisan masyarakat, sama ada institusi dan orang awam, dengan kadar minimum sebanyak RM100.

“Bagi individu yang mewakafkan saham ini, mereka akan mendapat insentif potongan cukai pendapatan sehingga 7 peratus. Manakala pewakaf institusi akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing,” katanya.

Khaled yang juga Pengerusi JCorp berkata demikian pada Majlis Pelancaran Prospektus Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa JCorp yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, selaku wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut berangkat ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Majlis Jumaah DiRaja Johor, Dato’ Abdul Rahim Ramli; Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim.

Tambah Khaled, wakaf saham itu diperkenalkan bagi mengumpul dana untuk membiayai pembangunan naik taraf dan baik pulih Bangunan Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral.

“Prospektus Waqaf Saham ini didaftarkan di Suruhanjaya Sekuriti (SC), maka segala proses penawaran, pengurusan serta pelaporan dana wakaf dibuat dengan tersusun, profesional dan telus.

“Perkara ini membolehkan para pewakaf mengetahui perkembangan pembangunan di Larkin Sentral seperti dijanjikan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada JCorp di atas komitmennya membudayakan wakaf menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad sehingga terkenal di serata tanahair kerana kejayaannya melaksanakan sistem wakaf yang menarik dan teratur.

“Sebagai sebuah entiti milik Kerajaan Negeri Johor, JCorp memegang prinsip bahawa perniagaan bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan.

“Tetapi ia mestilah turut mengambil kira aspek-aspek kritikal yang memberikan kemaslahatan serta manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial