JCorp Teruskan Penajaan Penerbitan Akhbar Jawi, Usaha Memartabatkan Tulisan Jawi

image

 

ISKANDAR PUTERI, 7 Sept – Johor Corporation (JCorp) terus komited dalam usahanya untuk memartabatkan tulisan jawi apabila meneruskan penajaan akhbar Jawi dengan Utusan Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama itu adalah langkah terbaik untuk meneroka pendekatan baharu bagi menarik minat generasi muda meningkatkan keupayaan dalam tulisan jawi.

“Dengan adanya keluaran akhbar jawi itu, mereka mempunyai sebab untuk terus menguasai dan memahami tulisan jawi. Malah, usaha untuk memelihara tulisan jawi juga adalah amat penting khususnya di Negeri Johor,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Penerbitan Akhbar Jawi di antara JCorp dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, hari ini.

JCorp diwakili oleh Presiden & Ketua Eksekutifnya, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, manakala Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pula diwakili oleh Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Perjanjian penajaan tersebut dimeterai bagi tempoh 52 minggu bermula September ini hingga September 2017.

JCorp menaja percetakan akhbar jawi sebanyak 5,000 naskah setiap minggu.

Bercakap kepada media, Mohamed Khaled turut memuji kerjasama itu yang turut sama menaja pembangunan sebuah portal berita Jawi, sekaligus mencipta sejarah menjadi portal berita pertama menggunakan tulisan jawi.

“Kewujudan portal jawi itu adalah sesuatu yang amat baik khususnya kepada generasi muda bagi meningkatkan pengusaan tulisan jawi mereka.

“Malah dengan adanya penerbitan e-paper, ia bakal menjadikan portal itu lebih interaktif selain boleh diakses di mana-mana sahaja,” katanya.

Sempena penajaan kali ini, peraduan Semarak Jawi juga turut akan diadakan, yang mana pembaca akhbar itu boleh menyertai peraduan yang akan diadakan secara mingguan dan bulanan.

Peraduan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk lebih mahir dalam penulisan jawi dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah istimewa.

Maklumat lanjut boleh layari www.utusanmelayu.com.my

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial