JCorp Tinjau Potensi Pelaburan Dari Syarikat Jepun

Perbincangan meja bulat melibatkan syarikat-syarikat berpotensi dari Jepun bersama JCorp yang diadakan di Tokyo.

TOKYO, 26 Julai – Johor Corporation (JCorp) mengambil inisiatif untuk bertemu dengan lebih 20 syarikat terkemuka dari Jepun bagi meninjau potensi kerjasama perniagaan selain menarik pelaburan dalam pelbagai sektor pembuatan untuk dibawa ke Johor.

Pertemuan itu dibuat bersempena dengan misi pelaburan JCorp ke negara matahari terbit itu yang diketuai oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi JCorp.

Bersempena dengan lawatan ke Jepun ini, JCorp turut menyertai satu perbincangan meja bulat yang melibatkan syarikat-syarikat berpotensi di sini.

Ia bagi membincangkan perkara khusus dalam usaha untuk meyakinkan serta mengenalpasti pelaburan strategik yang berupaya membawa kepada kemajuan ekonomi ke Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pertemuan itu melibatkan beberapa syarikat terkemuka yang terlibat dalam peniagaan teras di sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia, industri berasaskan polimer, elektrik serta elektronik, minyak dan gas serta kejuruteraan pemesenan.

“Ini sekali gus membolehkan kita mengenalpasti beberapa potensi kerjasama perniagaan dan perlaburan baharu serta tambahan untuk dibawa ke dalam kawasan pembangunan industri Johor Corporation,”.

“Kita juga ada memberi penerangan kepada mereka mengenai pembangunan ekonomi serta persekitaran iklim perlaburan di Johor dan maklumat berkaitan Johor Corporation supaya mereka mendapat gambaran yang lebih jelas tentang peluang perlaburan serta perniagaan yang boleh diceburi,” katanya selepas mengadakan pebincangan bersama pelabur-pelabur di sini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Azman Mahmud dan Naib Presiden Perhubungan Bisnes dan Pemasaran Divisyen Pembangunan Industri JCorp, Johari Shukri Jamil

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata beliau gembira dengan sambutan mengalakkan daripada syarikat-syarikat dari Jepun yang menunjukkan minat untuk membuat pelaburan di Johor.

“Sambutan yang kita terima daripada syarikat-syarikat berpotensi ini begitu menggalakkan dan ini merupakan satu perkembangan positif selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu di Malaysia di bawah gagasan Johor Berkemajuan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial