JDT ADA KELEBIHAN JUMPA SOUTH CHINA

Screenshot-2014-03-21-09.04.37-720x340

PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT)‎ mempunyai kelebihan apabila berdepan kelab South China pada aksi suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,‎ malam esok.
   
Pengurus JDT, Ismail Ibrahim berkata selain memperoleh suntikan semangat selepas muncul juara Liga Super dua hari lepas, ketua jurulatih Mario Gomez juga mempunyai strategi tersendiri apabila bertemu bekas kelab yang pernah dibimbingnya itu.
   
"Pasukan South China amat berpengalaman. Pastinya Gomez juga cukup tahu kekuatan dan kelemahan mereka dan akan merangka strategi yang tepat untuk berdepan pasukan dari Hong Kong itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Ismail berkata walaupun menyedari pemain masih keletihan berikutan jadual perlawanan Liga Super yang padat, beliau berharap mereka dapat mempamerkan aksi terbaik, lebih-lebih lagi JDT tidak pernah tewas di laman sendiri dalam saingan pada kejohanan itu.
   
Katanya Leandro Velazquez yang dipinjamkan daripada kelab JDT II akan digandingkan dengan Luciano Figueroa di bahagian serangan bagi memastikan pasukan itu meraih kemenangan selesa sebagai bekalan sebelum bertandang ke tempat lawan di Stadium Mong Kok pada 15 September depan.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT Aidil Zafuan Abd Radzak berkata, walaupun mempunyai masa yang suntuk bagi menghadapi perlawanan itu, mereka akan beraksi bermati-matian.
   
"Kita kena lawan rasa letih kerana perlawanan ini berbeza dan tinggi tahapnya daripada liga kita. Kalau kita goyah, maka akan membawa padah," katanya.
   
Dalam pada itu, pemain pertahanan South China, Bojan Malisic berkata, pasukannya tidak akan memandang rendah keupayaan skuad kendalian Gomez itu.
   
"JDT bukanlah lawan mudah kerana dibarisi banyak pemain kebangsaan (Malaysia) dan mempunyai Figueroa di bahagian serangan. Dia (Figueroa) mempunyai penyudah yang menakjubkan," kata Malisic. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial