JDT BENAM PERAK 2-0 DI LARKIN

JOHOR BAHRU 11 September 2015. Pemain JDT, Amer Saidin (kiri) diasak pemain PERAK, Thiago Junio De Aqunino (dua dari kanan)  Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu PERAK pada perlawanan Piala Malaysia, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. NSTP/Zain Ahmed

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia 2015 dengan langkah kanan selepas membenam Perak 2-0 di laman sendiri, sebentar tadi. 

Kemenangan jelas menceriakan ribuan peminat JDT yang memenuhi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bagi aksi pembukaan Piala Malaysia 2015 itu. 

Kedua-dua gol JDT dijaringkan pada babak pertama menerusi Safee Sali pada minit ke-17 diikuti S Chanturu, tiga minit kemudian. Kemenangan meletakkan JDT di tangga teratas Kumpulan B yang turut diisi Sarawak dan ATM. 

Beraksi tanpa kelibat pemain-pemain utama seperti penyerang, Luciano Figueroa, Hariss Harun di bangku simpanan dan kapten, Safiq Rahim yang direhatkan, pengendali JDT, Mario Gomez terpaksa membuat perubahan taktikal pada aksi bertemu Perak.

Sekalipun menguasai perlawanan, JDT begitupun hampir dikejutkan pelawat apabila penyerang import Perak, Chad Souza berjaya melepasi perangkap ofsaid namun bola rembatan leretnya ditangkap kemas penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan. 

Seakan tersentak dengan cubaan itu, JDT memperkemas serangan dan berhasil membuka tirai jaringan menerusi tandukan Safee yang tidak mensia-siakan hantaran Chanturu. 

Kelebihan JDT kemudian ditambah Chanturu juga menerusi tandukan, tiga minit kemudian kali ini menerusi gerakan menarik yang dimulakan dari kiri padang oleh Mahali Jasuli dan Amri Yahyah. 

Di sebalik penguasaan tuan rumah, Perak beberapa kali hampir merobek gawang JDT namun kesemua cubaan termasuk daripada Bobby Gonzalez pada babak pertama dan Souza pada babak kedua sama ada dinafikan Izham atau palang gol. – BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial