JDT Juara Liga Super 2017

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Sekali pun tunduk 1-2 kepada Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Sela­yang hari ini, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berupaya menjulang kejuaraan Liga Super 2017 lebih awal apabila pencabar terdekatnya, Kedah ditewaskan Pahang 1-2.

JDT yang juga melakar gelaran hatrik pada musim lepas, dinobatkan juara Liga Super kali keempat berturut-turut sejak 2014 apabila memungut 45 mata pada ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Sementara Kedah berputih mata untuk sekurang-kurangnya memanjangkan persaingan merebut gelaran, apabila tewas di Stadium Darul Makmur sekali gus mengekalkan pungutan 34 mata.

Dalam perlawanan keempat terakhir itu, bekas juara Piala AFC, JDT yang dibimbing Ulisses Morais membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi Natxo Insa.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama apabila skuad Red Giants menyamakan kedudukan hasil ledakan Amri Yahyah pada minit ke-59, diikuti gol kemenangan oleh Andik Vermansah ketika saingan berbaki 12 minit.

Sementara itu, Tok Gajah kekal di tangga ketiga dengan 33 mata biarpun menang ke atas Kedah, dengan jaringan disumbang oleh Yamil Romero dan Matheus Alves, masing-masing pada minit ke-64 dan 80, manakala gol tunggal Lang Merah daripada Syafiq Ahmad (minit ke-77).

Di Stadium Negeri, Sarawak terselamat daripada menduduki zon bahaya setelah menang 2-0 ke atas pasukan tercorot Pulau Pinang, manakala Kelantan terpelosok ke tempat kedua dari bawah apabila terikat 1-1 dengan Felda United dalam saingan di Stadium Sultan Mohamad IV.

Perlawanan lain menyaksikan T-Team terus menerus menjadi mangsa belasahan apabila kalah 1-5 kepada Melaka United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sementara aksi di Stadium Perak, Bos Gaurus menang 2-0 ke atas PKNS FC.

“Syukur kerana kami dapat pertahankan kejuaraan Liga Super di laman sendiri. (Perlawanan tadi) kami banyak buat silap sehingga kami kalah kepada mereka (Selangor).

“Bagaimanapun saya ucapkan tahniah kepada rakan seperjuangan, pegawai-pegawai terutama bapa bola sepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan motivasi dan ilmu tidak kira dari segi apa.

“Tidak lupa juga ucapan te­rima kasih kepada penyokong JDT yang sedia menjadi pemain ke-12 kami. Jadi selepas ini fokus kami akan beralih ke Piala Malaysia pula. Harap dapat me­rangkulnya untuk kali ini,” kata kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim. – Utusan

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial