JDT MAHU KEKAL REKOD TANPA KALAH DI LARKIN

11952015_409322355938702_5678689836052789687_n

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) optimis mengekalkan rekod tanpa kalah beraksi di laman sendiri pada pertemuan menentang kelab dari Hong Kong, South China saingan suku akhir pertama Piala Konfederasi Asia (AFC) di Stadium Larkin, malam ini.

Pengurus JDT, Ismail Ibrahim berkata, walaupun pemain berdepan dengan jadual padat termasuk baru sahaja tamat saingan Liga Super, namun selaku tuan rumah memberi kelebihan buat JDT.

“Tidak dinafikan, pemain masih keletihan kerana melalui tujuh perlawanan sepanjang bulan ini. Kita akui berdepan tentangan hebat lawan dalam saingan membabitkan level lebih tinggi dan ia adalah pencapaian membanggakan.

“Meskipun kita hanya ada 48 jam masa berehat selain membuat persiapan bagi bertemu South China, namun saya yakin dengan semangat pemain kerana (Stadium) Larkin adalah ‘rumah kita’.

“Paling penting sokongan penonton sudah tentu memberi suntikan semangat buat pemain. Paling penting kita percaya dengan strategi Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez yang pernah mengendali South China,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Pengendali South China, Casemiro Mior dan pemain pasukan itu, Malisic Bojan.

Ismail turut memberi bayangan Harimau Selatan akan mengekalkan pemain utama ketika menentang pelawat termasuk penyerang importnya, Luciano Figueroa selain kapten, Safiq Rahim selain menurunkan Leandro Velazquez.

Sementara itu, Aidil Zafuan mengakui sebagai pemain profesional faktor keletihan adalah perkara biasa yang perlu diharungi dalam misi membawa bekalan selesa pada aksi timbal balik di Hong Kong 15 September depan.

“Kami akan berikan yang terbaik untuk semua penyokong JDT selain berharap Marcos akan kembali. Tidak dinafikan dia banyak membantu rakan sepasukan khususnya di bahagian pertahanan,” katanya.

Bagi Mior pula, dia masih belum memberi keputusan muktamad kesebelasan utama yang bakal diturunkan bertemu Harimau Selatan berikutan beberapa tonggak utamanya mengalami kecederaan.

“Perlawanan kali ini amat menarik kerana JDT adalah sebuah pasukan yang dibarisi oleh pemain hebat namun kita datang ke Larkin tetap untuk menang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial