JEMAAH HAJI MALAYSIA TERKORBAN DALAM REMPUHAN DI MINA

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mengesahkan seorang jemaah Malaysia, Zulkifly Samad, 50, terkorban dalam tragedi rempuhan di Mina, Khamis lalu. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mangsa yang berasal dari Johor dan menetap di Taman Ukay Bistari di Ampang dekat sini dikenal pasti berdasarkan semakan TH. 

Katanya, pasukan perubatan TH membuat tinjauan di rumah mayat Moaissim semalam menemui satu jenazah yang disahkan rakyat Malaysia dalam keadaan sempurna. 

"Pasukan perubatan TH mengesahkan jenazah melalui identifikasi yang ada pada jenazah berkenaan.  "Di sini pihak Tabung Haji mengesahkan jenazah itu adalah Zulkifly Samad," katanya dalam kenyataan dikeluarkan dari Makkah, malam tadi. 

TH pada makluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang terbabit dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji. 

Pihak TH juga sudah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada jam 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hari kejadian dan tiada aduan diterima daripada waris serta rakan sekhemah berhubung kehilangan jemaah.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, pihak TH menerima laporan daripada isteri mangsa, Suriahanim Abd Hamid, 40, bahawa suaminya tidak pulang ke khemah. Selepas menerima laporan itu, Asyraf Wajdi berkata, petugas haji memulakan usaha mencari jemaah terbabit di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina yang dikategorikan tersasar. 

"Dalam laporannya, Suriahanim mengakui suaminya tidak bersama jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasulullah SAW ke Mina. 

"Suriahanim menerima panggilan terakhir daripada suaminya pada jam 7.15 pagi (Khamis) dan memaklumkan mangsa selamat tiba di Mina bersama jemaah Indonesia dari Muzdalifah," katanya. 

Asyraf Wajdi dalam kenyataan turut menzahirkan rasa dukacita dan mendoakan roh mangsa ditempatkan bersama orang beriman dan golongan syuhada.- BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial