JEMAAH HAJI TERTUA MALAYSIA BERSYUKUR DAPAT JEJAK KAKI KE TANAH SUCI

05sibli.transformed_0

MAKKAH: Sebli Mat, jemaah haji Malaysia yang berumur 104 tahun, bersyukur dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci bagi menunaikan ibadat itu musim ini. 

"Alhamdulillah, saya dapat juga bersujud kepada-Nya di Tanah Suci ini," kata Sebli selepas doa dan harapannya untuk menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Makkah dan Madinah, akhirnya menjadi kenyataan. Dilahirkan 21 Februari 1911, Sebli direkodkan sebagai jemaah haji Malaysia tertua untuk musim haji 1436H ini. 

"Syukur, gembira dapat melihat Kaabah kali pertama, di Masjidil Haram, saya berdoa untuk semua," katanya ketika ditemui di penginapannya di Maktab 91, bangunan Rehab Janadriyah, di sini. 

Beliau yang ditemani anak tunggalnya, Mohamad, 63, tiba di Madinah pada 22 Ogos lepas menerusi penerbangan KT18 dari Kuching, sebelum ke Makkah pada 30 Ogos lepas. Sebli, kelahiran Miri, Sarawak itu pernah bekerja dengan sebuah syarikat minyak terkemuka yang beroperasi di Miri ketika di usia mudanya, nyata sentiasa positif dalam hidupnya, menjaga pemakanan dan sentiasa berbuat baik dengan semua orang. 

"Ayah saya pernah ditawarkan untuk menunaikan haji pada tahun 2013, namun terpaksa menolak kerana masalah berkaitan pengiring. Ayah saya sekali lagi ditawarkan untuk menunaikan haji tahun ini dan Alhamdulillah, pihak Tabung Haji meluluskan rayuan saya untuk menjadi pengiring kepada ayah saya," kata Mohamad, seorang pesara kerajaan yang pernah menunaikan haji pada 2008.

Mohamad berkata, ayahnya masih sihat dan mampu berjalan, cuma mengalami sedikit masalah pendengaran. "Ayah gembira dapat melaksanakan umrah, cuma semasa umrah, ayah berkerusi roda sebab dia agak letih mengharungi perjalanan menaiki bas dari Madinah ke Makkah selama lebih enam jam.

"Ayah saya berusia 104 tahun, saya pula 63 tahun, Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan ibadat kami," kata Mohamad. 

Sementara itu, Pengurus Maktab 91, Hamid Awang berkata pihaknya memberi perhatian sewajarnya kepada mereka.

"Apa sahaja keperluan mereka, kita akan lakukan yang terbaik, kita akan membantu apa sahaja, yang diperlukan, bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadat mereka dengan sempurna," katanya. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial