JIBC 2017 Tampil Peninju Elit Dunia

JOHOR BAHRU, 13 Dis – Johor bakal menjadi medan pertempuran lapan peninju elit Asia dalam merebut gelaran WBC Asia bagi kategori Light Heavyweight (87 kilogram) menerusi Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017 pada 7 Januari depan.

Kejohanan julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, adalah anjuran FH Promotions serta turut diiktiraf Majlis Tinju Dunia (WBC).

Difahamkan seramai 12 peninju profesional telah mengesahkan penyertaan dan bakal bersaing dalam beberapa kategori dipertandingkan.

Pengerusi WBC Asia, Thawuth Plemsamran berkata, kejohanan antarabangsa itu merupakan platform terbaik bagi setiap peninju untuk mengembangkan karier mereka sekali gus melonjakkan ranking dunia.

“Perlawanan melibatkan penyertaan peninju dari tujuh negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Malaysia.

“Kejuaraan itu bakal merebut gelaran WBC Asia yang menyaksikan pemegang Tali Pinggang Persatuan Tinju Asia Pasifik, Muhammad Farkhan Haron menentang Sheikh Kaseba dari UAE, Aziz Abdugofurov (Uzbekistan) melawan Aleksander Bajawa (Indonesia) dan Qudratillo Abduqaxarov (Uzbekistan) melawan Romeo Jakosalem (Filipina).

“Manakala Jeson Umbal dari Filipina menentang Romnick Magis (Thailand) dan Jio Alfriando (Filipina) melawan Muahammad Nor Rizan (Singapura),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2017 di Hotel Thistle, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, jurucakap FH Promotions, Muhammad Faruq Ibharm berkata, objektif utama penganjuran berprestij itu adalah untuk melahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Penaung Diraja Pasukan Tinju Johor Darul Takzim yang banyak memberi sokongan serta penaja utama kepada peninju kelahiran Johor itu.

Selain itu, katanya, JIBC juga diadakan bagi mencapai sasaran untuk menjadikan Johor sebagai salah satu hab tinju di dalam negara serta memperkenalkan Muhammad Farkhan sebagai ikon peninju profesional untuk negeri ini malah negara.

“Muhammad Farkhan merupakan satu-satunya peninju kita yang telah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah tinju negara serta masih belum ditewaskan dalam setiap saingan disertainya.

“Jadi kejuaraan ini begitu penting untuk melonjakkan nama Muhammad Farkhan di peringkat dunia selain yakin dapat memperkenalkan Johor sebagai salah satu lokasi arena tinju dunia,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berminat menyaksikan kejohanan itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM50 dan RM150 (VIP) bermula 15 Disember ini di beberapa lokasi termasuk Kafe Banafee Village atau melayari laman rasmi FH Promotions.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial