J’kuasa Panel Penasihat Perumahan Johor Adakan Mesyuarat Pertama Semalam

Datuk Md. Jais Sarday

KLUANG, 4 April – Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan yang ditubuhkan di negeri ini mengadakan mesyuarat pertama semalam, bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan hartanah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata mesyuarat jawatankuasa terbabit dipengerusikan bekas Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Obet Tawil dan dihadiri beberapa yang lain termasuk bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

“Dalam mesyuarat tersebut, mereka (anggota jawatankuasa) mengkaji semua kaedah dan prosedur sama ada dari segi permohonan dan agihan Rumah Mampu Milik Johor serta kuota bumiputera.

“Bagaimanapun, setakat ini saya belum menerima laporannya dan hasil cadangan jawatankuasa itu nanti akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dahulu, yang dijangka dua minggu lagi, dan kalau kerajaan negeri setuju, maka kami akan maklumkan kepada media untuk hebahan,” katanya.

Md Jais yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) untuk daerah ini, di sini hari ini.

Pada 9 Mac lepas, beliau mengumumkan sebuah Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan akan ditubuhkan bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan hartanah di negeri ini.

Md Jais berkata jawatankuasa itu dianggotai bekas exco, bekas Setiausaha Kerajaan Johor, bekas pegawai kerajaan negeri dan wakil pemaju.

Sementara itu, mengenai BMJ, katanya ia merupakan inisiatif kerajaan Johor dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat negeri ini dengan menyediakan perkhidmatan dua bas percuma untuk penduduk di sekitar pusat bandar Kluang itu, bermula 15 April ini.

Menurutnya, BMJ mula diperkenalkan di kawasan Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, tahun lepas.

Katanya ia kemudian diperluaskan di Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Yong Peng dan Simpang Renggam, bulan ini.

“Perkhidmatan di daerah ini akan melibatkan dua laluan iaitu Terminal Bas Kluang-Kluang Mall-Taman Berlian Biru-Taman Intan sepanjang 17.9 kilometer dan Terminal Bas Kluang-Majlis Perbandaran Kluang-Taman Gunung Lambak-Taman Aman sepanjang 12.2 kilometer yang bermula 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Md Jais berkata penduduk daerah ini disaran menggunakan perkhidmatan bas itu dan perlu membeli Kad Muafakat Johor bernilai RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi pelajar atau warga emas atau orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkan mereka menaiki bas terbabit secara percuma. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial