JMF Boleh Bantu Ketika Bencana Alam

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSNJ) diyakini berupaya untuk membantu Kerajaan Negeri ketika berdepan bencana alam di negeri ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga Komandan TSNJ, bertitah pasukan itu mampu melaksanakan pelbagai tugas ketika bencana alam seperti banjir, termasuk mengawal keamanan dan keselamatan negeri.

“Ia juga (boleh) membantu pihak keselamatan negeri dan pasukan keselamatan (negara) apabila dalam keadaan darurat,” titahnya.

Titah ucapan itu dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mewakili ayahandanya pada Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Askar Timbalan Setia Negeri Johor di Kem Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Tunku Ismail bersama pegawai-pegawai dan rekrut baharu Askar Timbalan Setia Negeri Johor

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani.

Pada majlis itu, seramai 76 pelatih berjaya menamatkan latihan rekrut ketenteraan yang bermula enam bulan lalu dengan Ahmad Akmal Ahmad Arshad diumumkan sebagai rekrut terbaik keseluruhan, manakala Muhammad Tarmizi Kamaruzaman sebagai rekrut penembak terbaik.

Pelatih rekrut, Muhamad Afiq Mohd Ramli pula muncul sebagai rekrut akademi terbaik, manakala Norman Affan Jumaat pula diumumkan sebagai rekrut kawad kaki terbaik.

Sultan Ibrahim turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri berikutan pertambahan pegawai dan anggota pasukan TSNJ daripada 196 kepada 425 orang.

“Keperluan peralatan dan infrastruktur juga perlu dipertimbangkan supaya pasukan ini dapat menjalankan tugas dengan berkesan ketika keadaan aman mahupun perang.

“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas usaha menggubal Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Timbalan Setia Negeri Johor dan pindaan Enakmen 31 Angkatan Tentera Johor 1915 yang telah mendapat kelulusan sidang dewan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mencadangkan Kerajaan Negeri agar terus berusaha mengumpul serta mengemaskini bahan penulisan dan sejarah pasukan terbabit supaya segala pengorbanan mereka dulu dapat dikongsi bersama masyarakat.

“Sebuah muzium Askar Timbalan Setia Negeri Johor juga harus diwujudkan agar ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial