Johor bakal bina hab latihan dan industri

IMG_1840JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri telah mengenalpasti kawasan seluas 100 ekar di Kulaijaya untuk dijadikan sebagai kawasan hab latihan dan industri.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata hab berkenaan bakal dibangunkan dalam waktu terdekat ini setelah perbincangan bersama beberapa institusi dari dalam dan luar negara selesai dijalankan.

“Dengan adanya hab latihan dan kemahiran sudah tentu akan membuka peluang kepada pelajar di dalam negara mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai agensi berkaitan.

 “Projek ini merupakan projek usaha sama kerajaan dengan pihak swasta dan kini kita masih menanti beberapa jawapan untuk mereka menyertai hab itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya sempena Majlis Himpunan Guru 1 Malaysia negeri Johor bersama Kepimpinan Kerajaan negeri di Pulai Springs, di sini.

Ketika diminta mengulas berkenaan Bajet 2015, Mohamed Khaled menyifatkan bajet tersebut diagihkan dengan adil dan berharap Johor  bakal mendapat manfaat apabila Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dilancarkan nanti.

“Kita faham bajet 2015 adalah yang terakhir untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), maka sebahagian besar peruntukkan adalah pembiayaan untuk projek yang bersambung dan apa yang kita harap apabila RMK-11 dilancarkan nanti, Johor mengambil bahagian.

“Mungkin juga tahap pembangunan di Johor begitu jauh yang mana turut melibatkan pelaburan oleh pihak swasta yang ditampung oleh kerajaan negeri melalui insentif yang diberikan dan Johor boleh mendapatkan banyak insentif,” katanya.

Katanya lagi, menerusi beberapa bajet terdahulu, Johor telah menerima banyak peruntukkan untuk meningkatkan infrastruktur termasuk sistem jalan raya dan sebagainya.

“Kini perlaburan di Johor semakin bertambah yang mana kemasukan pelaburan pada tahun lalu berjumlah kira-kira RM14 billion dan pada tahun ini juga begitu. Kita percaya ia akan berterusan begitu,” katanya.

Hadir sama  Pengerusi Jawatan¬kuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri, Md Jais Sarday dan Pengarah Pendidikan dan Pengarah Pendidikan negeri, Aminudin Adam.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial